NGO berhimpun sokong Tuanku Muhriz malam ini

Satu himpunan akan diadakan malam ini bagi menunjukkan sokongan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir susulan polemik kedudukan baginda sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Megat D Shahriman Zaharudin, berkata himpunan itu akan diadakan di Tingkat 5, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula 8.30 malam hingga 9.30 malam, sempena keberangkatan pulang Tuanku Muhriz.
Beliau menyeru rakyat Negeri Sembilan yang mahu menunjukkan sokongan kepada Tuanku Muhriz supaya hadir pada himpunan itu, sambil menegaskan NGO berkenaan tidak mahu mendahului pihak istana berhubung butiran penerbangan baginda.

“Kita harus bersama-sama Tuanku Muhriz untuk menunjukkan yang kita tidak bersetuju dan tidak bersekongkol dengan pengkhianat.
“Jika benar dakwaan yang dikeluarkan kesemua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Negeri Sembilan, memang mereka telah melakukan satu pengkhianatan,” katanya kepada FMT.
Perhimpunan dirancang itu diadakan di tengah-tengah pertikaian mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan semakin memuncak.
Mengulas kenyataan barisan exco Negeri Sembilan yang menyatakan penurunan takhta Tuanku Muhriz pada April lalu adalah sah, Megat menyifatkannya sebagai tindakan memalukan, termasuk mempersoal bidang kuasa exco menentukan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Katanya, exco dan Adun negeri tidak mempunyai bidang kuasa membuat keputusan mengenai penurunan takhta, sambil menyebut perkara itu tidak diperuntukkan dalam undang-undang tubuh negeri.
“Mereka sepatutnya sedar diri dan melepaskan jawatan jika benar telah melakukan perkara sedemikian. Saya juga berpendapat mereka tidak layak mewakili mana-mana parti jika benar melakukan pengkhianatan,” katanya.
Megat turut menyeru polis mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab dan tidak melengah-lengahkan siasatan, sekiranya terdapat kesalahan di sisi undang-undang.
“Kita tidak mahu perkara ini menjadi normalisasi di negeri-negeri lain. Saya berharap setiap istana dan Sultan di negeri yang mempunyai institusi beraja memantau perkara sebegini supaya ia tidak berulang,” katanya.
Semalam, exco kerajaan negeri menyatakan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz adalah sah dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar baharu.
Menurut kenyataan barisan exco, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar Ismail Lasim, pada Isnin lalu.
Namun, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, mendakwa tiada proses sah yang menyebabkan baginda terhenti memegang jawatan itu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.