Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkorban serangan di Riyadh

Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terkorban atau cedera dalam serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh, Arab Saudi, semalam.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sedang berhubung dengan beberapa rakyat Malaysia yang dalam perjalanan dan terkandas bagi memberikan bantuan konsular susulan penggantungan sementara operasi di lapangan terbang berkenaan.
“Kementerian Luar sedang memantau rapat situasi susulan serangan terbaharu itu serta laporan sebuah projektil jatuh berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Fadh di Dammam,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang menetap, dalam perjalanan transit atau merancang ke Arab Saudi supaya sentiasa berwaspada.
“Memandangkan gangguan penerbangan masih berterusan, mereka yang mempunyai rancangan perjalanan dalam masa terdekat dinasihat mengesahkan status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang.
“Rakyat Malaysia turut dinasihatkan bersedia menghadapi kemungkinan kelewatan atau pembatalan penerbangan, sentiasa mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi serta mematuhi sepenuhnya arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.”
Terdahulu, media melaporkan sekurang-kurangnya 12 terbunuh dan 309 lagi cedera dalam serangan itu.
Menurut pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi, antara mangsa korban ialah empat warga Arab Saudi, dua rakyat Bangladesh, masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan.
Sebahagian daripada mangsa cedera dilaporkan dalam keadaan serius.
Serangan peluru berpandu yang dilancarkan kumpulan Houthi terhadap Arab Saudi dilaporkan semakin meningkat sejak beberapa minggu ini.
Bagi memastikan komunikasi dapat dilaksanakan dengan segera serta memudahkan penyaluran bantuan konsular, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat melalui https://ekonsular.kln.gov.my.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam situasi kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh melalui 00 966 11 488 7098 / 00 966 11 488 7100 atau talian kecemasan 00 966 56 300 6319 (selepas waktu pejabat) atau e-mel [email protected].
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.