Punch2027: Obasanjo’s son backs Tinubu’s re-electionInquirerStroke could cost Philippines ₱416.5B over 15 yearsDaily MaverickLIV Golf rescue plan falters as BC Partners abandons investment, FT reportsZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-Nachrichtenstudio東洋経済オンライン疑惑噴出のGMO熊谷代表、「命の砂時計」会見に透けた《ワンマン経営》の危うさと"ネットに捧げた31年"の誤算 | ライフ | 東洋経済オンラインThe Straits Times26 people taken to hospital after three-vehicle incident in TuasESPN CricinfoAfghanistan, Zimbabwe face-off with WTC spot on the horizonThe Sydney Morning HeraldOfficial trailer for The FoxThe Jerusalem PostPalestinian teacher arrested in West Bank over posts praising terrorists, October 7 attackSeeking AlphaDenison Mines Non-GAAP EPS of -C$0.03 misses by C$0.01, revenue of C$1.05MDaily MailMAGA turns on Trump: JD Vance and even Don Jr blame President's Iran War debacle for poll wipeout that's left him a lame duckMalay MailArsenal overcome Slavia Prague 2-1 to maintain unbeaten Champions League run
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, November 5, 2026

Memposisikan Wan Azizah dalam memori Malaysia

Translate

faisal tehrani

Menurut ahli falsafah dan sejarawan Perancis yang terkenal, Pierre Nora; terdapat satu hubungan erat antara sejarah dan memori. Akan tetapi Nora menegaskan, dalam banyak keadaan memori adalah lebih utama dan dalam banyak keadaan mengatasi sejarah. Ini kerana memori adalah pencarian kebenaran yang objektif a search for objective truth atau satu himpunan bagaimana ia pernah terjadi, a recollection of how it really was.

Sedangkan sejarah tidak sebebas memori, dan kadangkala perlu dikendala. Ini kerana sejarah selalunya mempunyai aspek ideologi dan boleh dimanipulasi, ideological and manipulative. Idea dan gagasan Nora mengenai pertentangan memori melawan sejarah ini boleh ditemukan dalam banyak karya-karya beliau, antara lain The Present. Nation. Memory; Between Memory and History. Problems of Memory Places; World Celebration of Memory; History as Protection from Politics; dan dalam kerja beliau yang paling masyhur, Places of Memory.

Mengapakah Nora lebih berpihak kepada memori berbanding sejarah, sedang beliau adalah seorang sejarawan? Menurut Nora, beliau pertamanya ingin meluruskan semula sejarah dengan membersihkannya dari fakta tertentu.

Fakta-fakta sejarah ini pada Nora telah dimanipulasi oleh agenda politik dan hanya memori secara kolektif yang dapat membetulkan keadaan ini. Nora dalam kerja-kerja akademiknya menyorot bagaimana gerakan politik, pengukuhan identiti kebangsaan Perancis, dan agenda kelompok tertentu boleh mencemarkan sejarah. Tugas sejarawan sebenarnya adalah memelihara atau melindungi memori ini.

Atas alasan inilah Nora melancarkan gagasan beliau yang dikenali sebagai Places of Memory. Bagaimanapun cabaran untuk meluruskan sejarah dengan mencari memori yang benar ini bukanlah mudah, memandangkan memori itu sendiri terputus, tambahan pula tradisi sendiri akan hancur atau ditinggalkan, dan inovasi mengambil tempat sehingga memori kolektif itu sendiri ikut terjejas. Nora menyatakan, memori yang benar hanya datang dari ruang-tempat memori berjejak memory places atau mnemonic places, yang hadir membentuk ruang memori.

Nora menafsirkan konsep places of memory (lieu de memoire) ini sebagai satu fenomena yang signifikan, terzahir ketara atau tidak ketara, yang mana kerana kenekadan masyarakat atau pengaruh zaman telah membentuk sebagai satu lambang warisan untuk bangsa;

Memori kolektif terbentuk oleh kerana memori berjejak ini yang termanifestasi secara benda, fungsi dan lambang. Memori berjejak dalam bentuk benda misalnya adalah monumen, tugu, memorial, perkabungan, penyanjungan, wajah pada stem atau duit kertas, acara yang bersempenakan memori ini, nama jalan; dan lain-lain. Memori yang terputus memerlukan memori berjejak ini supaya dapat diingat kembali dan sekaligus dimurnikan semula sejarahnya. Sesuatu hanya ‘menjadi sejarah setelah memori berakhir, selagi memori dipugar secara kolektif maka sesuatu itu belum menjadi sejarah meskipun sudah berlaku pada masa lampau’; dalam erti kata lain ‘sejarah akan terus hidup jika terus dikenang’.

Harus diingat, memori berjejak Nora selalu dikelirukan oleh ramai sebagai satu tempat, ini kerana terjemahan suntuk place of memory itu dikait dengan physical place, padahal ia telah kehilangan tempat dan lebih kepada simbol atau tanda, kesan, atau jejak.

Saya selalu mengangankan, atau mencita-citakan agar nama Wan Azizah Wan Ismail terlekat dalam memori Malaysia, di saat beliau masih bernafas dan masih hidup. Beliau memiliki tempat dalam memori negara. Saya khuatir meletakkannya dalam sejarah. Ini kerana seperti mana dilihat oleh Nora, sejarah boleh mengalami pemesongan. Buku sejarah boleh diubah oleh pihak yang menang. Sejarah boleh dipadam. Tetapi memori misalnya tidak boleh dipadam. Yazid bin Muawiyah sebagai contoh cuba memadam sejarah mengenai cucu Rasulullah. Dia gagal. Ini kerana Zaynab al Kubra, puteri Fatimah dan Saidina Ali menghidupkan memori abangnya itu dengan segar dan harum. Ia menjadikan kesyahidan itu sentiasa hidup.

Sejarah telah membuktikan bahawa wanita di alam Melayu bukanlah kelompok yang pasif atau hanya berdiri di belakang kejayaan seseorang pimpinan masyarakat. Antara fakta dari lipatan sejarah alam Melayu, dapat dikenali sosok seorang Permaisuri bernama Pramodawardhana yang bertanggungjawab di belakang Kerajaan Majapahit dan Pembangunan Borobudur yang inklusif. Dari era kesultanan hingga ke zaman perjuangan kemerdekaan dan era pemodenan dan digital masa kini, wanita Melayu telah memainkan peranan yang amat signifikan sebagai pemimpin, diplomat, pendidik, usahawan, pemikir sosiobudaya, dan tiang seri utama dalam keharmonian nusa bangsa.

Di saat berlakunya krisis dalam masyarakat, wanita terbukti menjadi penyelamat. Seperti dilakukan oleh Tengku Ampuan Intan Tengku Alang Hussain yang menjadi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan antara tahun 1869-1872 iaitu ketika berlakunya pertelingkahan untuk merebut kuasa. Watak sedemikian muncul lagi di zaman kita, dengan nama Wan Azizah Wan Ismail.

Selaku timbalan perdana menteri (2018-2020) dan pemimpin di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Wan Azizah ketika itu telah melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur (2020-2025). Pelan ini merangkumi strategi menyeluruh berasaskan lima punca utama yang digariskan menerusi kajian mendalam, iaitu kemiskinan sosioekonomi, kekurangan akses kepada pendidikan, kepincangan maklumat kesihatan reproduktif, kelonggaran undang-undang, serta persepsi dan stigma masyarakat. Saya membayangkan bagaimana kiranya memori Wan Azizah ini disuburkan terus. Dan memori itu diberi nyawa apabila lima punca di atas terus dikaji dan diberi solusi oleh sebuah universiti. Kita ahli akademik mengkaji dan memberi solusi, atas nama Wan Azizah. Berbahagi pahala.

Satu lagi tonggak utama dalam perjuangan pemerkasaan wanita yang sentiasa Wan Azizah tekankan ialah pengiktirafan terhadap golongan suri rumah yang memerlukan perlindungan keselamatan sosial yang sewajarnya. Di tangan beliau lahir program i-Suri dan i-Sayang yang hari ini mesti diteruskan sebagai usaha menangani jurang perlindungan sosial. Kerajaan ketika itu melancarkan Skim i-Suri di bawah Caruman Sukarela Insentif Suri bagi memastikan suri rumah berdaftar dalam sistem eKasih mendapat tabungan hari tua di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan bantuan insentif kerajaan.

Memori atau legasi kerja bekas timbalan perdana menteri ini mesti dibaja. Ia mesti diberi, bak kata Pierre Nora, sebuah tanah pamah, sebuah watan dan tekad yang dapat menampang places of memory (lieu de memoire) tersebut. Kalau ada rezeki harapnya memori Wan Azizah ini akan dapat ditegakkan di kala beliau masih hidup, dan di kala saya masih berkhidmat sebagai ahli akademik.

Ini hanyalah angan-angan saya. Agar nama Wan Azizah itu abadi, dan mengatasi sejarah. Ia boleh dan Insya-Allah menjadi memori, satu kenangan yang wangi dan lama. Biarkan ia abadi.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.