Reformasi kesihatan ambil masa, momentum mesti dikekalkan, kata pakar

Orang ramai tidak seharusnya menjangkakan inisiatif baharu untuk mengurangkan kos penjagaan kesihatan akan menunjukkan hasil serta-merta kerana pembaharuan struktur dan institusi lazimnya mengambil masa bertahun-tahun sebelum kesannya dapat dirasai, kata seorang pakar.
Dr June Choon dari Sunway University berkata inisiatif bersifat jangka panjang seperti strategi RESET dan pelan insurans MediAsas perlu melalui penelitian politik, perbahasan perundangan, rundingan belanjawan serta perancangan pelaksanaan yang panjang sebelum manfaatnya sampai kepada pesakit.
“Namun, sikap ‘berhati-hati’ tidak boleh dijadikan alasan untuk bergerak terlalu perlahan tanpa sebab yang munasabah,” kata Choon, yang mengetuai sekolah farmasi di fakulti sains perubatan dan hayat universiti itu kepada FMT.
“Ukuran sebenar kejayaan agenda reformasi ialah sama ada ia membawa sistem ke arah akses penjagaan yang lebih baik dan lebih adil untuk pesakit.”
Kerangka RESET merangkumi lima teras strategik bagi menangani inflasi perubatan secara sistematik, iaitu menambah baik insurans perubatan dan kesihatan serta takaful, meningkatkan ketelusan harga, memperkukuh ekosistem kesihatan digital, memperluas pilihan rawatan kos efektif dan mengubah kaedah pembayaran kepada penyedia perkhidmatan.
MediAsas pula bukan skim insurans kesihatan kebangsaan (NHI) atau sosial (SHI) sebaliknya inisiatif insurans dan takaful perubatan swasta secara sukarela.
Ia bertujuan menjadikan perlindungan kesihatan swasta lebih mudah diakses, mampu milik dan mampan, selain melengkapi sistem kesihatan awam Malaysia yang dibiayai melalui hasil cukai.
Pada Simposium Sasana baru-baru ini, Ketua Pejabat Transformasi Penjagaan Kesihatan Kementerian Kesihatan Dr Yap Wei Aun turut menegaskan MediAsas tidak harus dilihat secara berasingan.
Katanya, ia sebahagian daripada agenda pembaharuan RESET yang lebih luas untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan swasta, seiring usaha berterusan memodenkan sistem kesihatan awam yang kekal sebagai tunjang liputan kesihatan sejagat.
Choon turut merujuk program pengurangan kemudaratan Malaysia yang dirintis pada 2005 dan 2006 bagi menunjukkan bahawa kesan sesuatu pembaharuan kadangkala hanya dapat dilihat selepas beberapa tahun.
Kajian dibiayai Bank Dunia pada 2013 menganggarkan program perintis itu berjaya mencegah kira-kira 12,650 jangkitan HIV serta menjimatkan RM47 juta kos penjagaan kesihatan antara 2006 dan 2013.
Menurut Choon, kes HIV baharu berkurangan daripada 6,978 pada 2002 kepada 3,393 pada 2013, manakala peratusan kes yang berpunca daripada penggunaan dadah secara suntikan, yang sekitar 74% pada 2002, turut merosot dengan ketara pada tahun-tahun berikutnya.
“Pembaharuan memerlukan kesabaran. Hasilnya datang secara perlahan dan sering kali hanya dapat dihargai beberapa tahun kemudian, sebab itulah pembaharuan perlu diberi masa yang mencukupi.”
Bagaimanapun, Choon menegaskan kesinambungan politik penting untuk memastikan dasar yang baik dapat membuahkan hasil, sambil memberi amaran pertukaran menteri kesihatan yang kerap sejak beberapa tahun lalu boleh menyebabkan usaha pembaharuan tertangguh, diberi penjenamaan baharu atau dimulakan semula.
Katanya, tanggungjawab terhadap strategi RESET dan pelan MediAsas tidak boleh bergantung kepada seorang menteri sahaja.
“Ia memerlukan komitmen berterusan merentas parti dan peruntukan yang dilindungi.”
Choon turut berkata usaha reformasi ketika ini secara langsung menangani kekangan struktur yang sudah lama wujud, khususnya sistem pembiayaan yang berasingan akibat dasar terdahulu.
Katanya, sistem kesihatan awam Malaysia sebahagian besarnya dibiayai melalui hasil cukai umum, menyebabkan Kementerian Kesihatan perlu bersaing setiap tahun dengan kementerian lain untuk mendapatkan peruntukan.
“Apabila dana untuk sesuatu pembaharuan tidak diperuntukkan secara khusus dan tiada pihak yang benar-benar bertanggungjawab terhadap hasilnya, pelaksanaan akan menjadi perlahan,” katanya.
Beliau menyokong usaha membina mekanisme pembiayaan kesihatan yang khusus dan mampan, yang disifatkannya sebagai “teras reformasi paling penting”.
Choon turut membangkitkan isu infrastruktur digital yang belum lengkap apabila data kesihatan sektor awam dan swasta masih disimpan dalam sistem berasingan.
“Tanpa gambaran menyeluruh itu, proses membuat pembetulan menjadi perlahan dan kita berisiko hanya mengetahui sama ada sesuatu dasar berjaya atau tidak selepas bertahun-tahun.”
Penganalisis kesihatan Chua Hong Teck bersetuju dan menyifatkan strategi jangka panjang kementerian sebagai perubahan yang diperlukan.
“Reformasi penjagaan kesihatan adalah maraton, bukannya pecutan,” katanya.
“Orang ramai tidak sepatutnya menjangkakan pembaharuan akan berjaya dalam sekelip mata. Perubahan asas boleh mengambil masa yang panjang, malah mungkin satu generasi.”
Chua, yang pernah menjadi pengarah Bidang Ekonomi Utama Negara Penjagaan Kesihatan di Jabatan Perdana Menteri, turut berkata peranan Kementerian Kesihatan yang menggubal dasar sambil mengurus operasi harian menyebabkan terlalu banyak tenaga tertumpu kepada menangani masalah operasi berbanding melaksanakan pembaharuan.
Beliau berkata MediAsas tidak seharusnya dianggap sebagai penyelesaian menyeluruh secara bersendirian.
Menurut Chua, pelan itu perlu dilaksanakan seiring komponen lain dalam RESET seperti ketelusan harga dan peralihan kepada sistem pembayaran berasaskan kumpulan berkaitan diagnosis jika mahu menangani inflasi perubatan secara tuntas.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.