IGEM 2026 buka mata pengunjung tentang amalan hijau

Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026 membuka mata pengunjung mengenai kepentingan amalan mesra alam, selain memberi pendedahan kepada pelbagai inovasi yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
Pameran itu bukan sekadar memperkenalkan teknologi hijau, malah memberi peluang kepada masyarakat memahami kepentingan kelestarian alam sekitar, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu dan amalan kitar semula.
Penjawat awam Hajjar Hashim, 38, berkata kunjungannya ke IGEM 2026 memberi pengetahuan baharu mengenai perubahan iklim dan teknologi hijau yang boleh dipraktikkan di rumah serta tempat kerja.
“Antara inovasi yang menarik perhatian ialah teknologi kitar semula, termasuk pemprosesan minyak terpakai menjadi bahan api penerbangan,” katanya.

IGEM 2026 edisi ke-17 berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 9 Okt lalu, anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Acara itu menghimpunkan pemain industri, inovator dan pelabur tempatan serta antarabangsa bagi mengetengahkan teknologi dan penyelesaian hijau dalam menangani cabaran alam sekitar serta perubahan iklim.

Bagi kakitangan agensi pekerjaan, Lutfil Amin Suhaimi, 28, pameran itu memberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi tenaga boleh baharu seperti solar dan biogas, selain peluang pembiayaan kepada syarikat teknologi.
Katanya, antara perkara yang menarik perhatian ialah pembiayaan modal ditawarkan Malaysian Debt Ventures Berhad (MDV) bagi menyokong pembangunan syarikat teknologi.
Lutfil turut menggesa generasi muda memanfaatkan peluang menimba pengetahuan mengenai teknologi hijau supaya tidak ketinggalan ketika negara bergerak ke arah sasaran bebas karbon.
“Generasi saya kena cakna dengan keadaan semasa sebab negara sedang menuju sasaran bebas karbon dan kita yang akan menjadi pemimpin baharu. Kalau kita tak tahu dan tak ambil berat, kita akan ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, pemandu pelancong Rekha Nagarasan, 48, berkata IGEM 2026 turut menjadi platform pembelajaran kepada golongan muda, khususnya pelajar universiti yang berminat mengetahui perkembangan teknologi hijau di Malaysia.
Rekha yang membawa delegasi pelajar universiti ke pameran itu berkata, pengetahuan mengenai kelestarian alam sekitar juga penting dalam sektor pelancongan yang bukan sahaja melibatkan lawatan bandar, tetapi turut berkait rapat dengan alam semula jadi.
Pelajar universiti swasta, Lysa Xiu Ying, 25, pula berpandangan pendedahan kepada inovasi hijau bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar, malah membuka mata masyarakat terhadap kepentingan teknologi itu kepada pelaburan negara.
Lysa yang kali kedua mengunjungi IGEM berkata, minat terhadap aspek kelestarian dan teknologi mendorongnya untuk terus mengikuti perkembangan inovasi hijau.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.