Kerajaan belum tetap tahun sasaran pemulihan aset, tuntutan 1MDB

Kerajaan belum menetapkan tahun sasaran untuk menyelesaikan semua tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata 2039 merupakan tahun matang prinsipal sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berkaitan 1MDB yang dijamin kerajaan.
“Tahun 2039 merupakan tempoh matang prinsipal sukuk IMTN mengikut jadual semasa. Dalam tempoh tersebut, kerajaan meneruskan usaha untuk mendapatkan semula dana dan aset 1MDB.
“Tahun matang sukuk dan tempoh penyelesaian tuntutan merupakan perkara yang berbeza,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berhubung sasaran akhir bagi menyelesaikan baki liabiliti bersih 1MDB dan tuntutan yang masih dalam proses pemulihan berserta tahun sasaran kerajaan untuk menamatkan sepenuhnya tanggungan tersebut.
Amir berkata tempoh penyelesaian tuntutan dan usaha pemulihan aset turut bergantung pada keputusan mahkamah serta penguatkuasaan di dalam dan luar negara.
“Keutamaan ketika ini adalah memenuhi komitmen kewangan mengikut jadual, di samping meneruskan usaha mendapatkan semula sebanyak mungkin dana yang diseleweng.
“Setakat 31 Ogos, kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen berkaitan 1MDB, merangkumi prinsipal, faedah serta kos lain.
“Baki komitmen sukuk IMTN yang dijamin kerajaan pula berjumlah RM8.9 bilion, terdiri daripada prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039,” katanya.
Beliau berkata selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion sekiranya tiada pemulihan tambahan.
Dalam pada itu, katanya nilai yang dituntut atau diperintahkan oleh mahkamah belum dapat dianggap sebagai jumlah yang pasti akan diterima.
“Jumlahnya masih bergantung pada keputusan mahkamah, proses rayuan, aset yang dapat dikesan dan keupayaan untuk menguatkuasakan perintah, khususnya di luar negara,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.