Terima dadah di P Pinang, warga China ditahan bawa 2kg kokain ke Hong Kong

Warga China yang ditahan bersama 2kg kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong minggu lalu dijanjikan ganjaran RM1,200 untuk membawa dadah diperolehi daripada individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia 25 tahun itu ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada 22 Okt lalu selepas dadah ditemui dalam bagasi daftar masuknya setibanya di Hong Kong dari Pulau Pinang menaiki penerbangan Cathay Pacific CX622.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah berkenaan daripada seorang individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Pulau Pinang.
“Suspek dipercayai berada di Malaysia selama tiga hari dan dijanjikan ganjaran sebanyak RMB2,000 (RM1,200) bagi urusan berkaitan dadah itu,” katanya menurut Berita Harian sambil menambah pasport suspek baru dikeluarkan bulan ini dan tiada rekod perjalanan lain.
Jelasnya, suspek yang dipercayai hanya berada di Malaysia untuk tempoh singkat mempunyai beberapa tempahan hotel.
Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Hong Kong bagi mendapatkan perkembangan kes itu, termasuk maklumat berkaitan ahli sindiket yang mungkin berada di Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan seorang warga China ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong Khamis lalu selepas 2kg kokain ditemui dalam bagasinya.
Lelaki itu didakwa atas kesalahan mengedar dadah berbahaya dan kes dijadual dibawa ke Mahkamah Majistret Kowloon Barat.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda HKD5 juta, jika sabit kesalahan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.