Kes Najib dan politik yang tidak pernah berhenti

Keputusan membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah segera memenuhi ruang awam. Dalam beberapa jam, ia berkembang daripada persoalan pengampunan dan Perlembagaan kepada perbahasan tentang rasuah, keadilan, hubungan antara parti dalam kerajaan dan masa depan politik negara. Isu Najib hanyalah contoh paling mutakhir kepada sesuatu yang lebih besar.
Ia sebenarnya menyingkap satu realiti bahawa ada sesuatu yang terasa berbeza tentang Malaysia akhir-akhir ini. Bukan kerana negara ini tidak pernah dilanda krisis. Kita pernah melalui 13 Mei, peristiwa Memali, krisis ekonomi 1997 – 1998, era Reformasi dan pelbagai pertembungan politik yang jauh lebih getir. Yang berbeza sekarang bukan besarnya krisis, tetapi kekerapan dan keseriusannya. Terlalu banyak perkara yang dahulunya dianggap luar biasa, kini berlaku bertindih dalam tempoh singkat. Belum reda satu kontroversi, muncul kontroversi lain. Politik, mahkamah, institusi, agama, kaum, pendidikan dan ekonomi bertindih hampir setiap hari. Belum sempat sesuatu isu difahami, perhatian beralih kepada isu berikutnya. Malaysia terasa semakin berkecamuk.
Keadaan ini mengingatkan kepada istilah ‘permacrisis’ — tempoh ketidakstabilan dan ketidakpastian berpanjangan apabila satu kemelut seperti sentiasa disusuli kemelut berikutnya. Malaysia tidaklah sampai ke tahap ‘permacrisis’ tersebut. Tetapi, ruang awam kita semakin mempunyai rasa seperti krisis yang tidak pernah selesai kerana semuanya dipolitikkan sehingga mewujudkan suasana ‘permapolitical crisis’. Mengapa?
Terlalu banyak perkara luar kebiasaan berlaku serentak
Sejak 2018, Malaysia melalui rentetan perubahan yang sebelum itu sukar dibayangkan berlaku dalam tempoh kurang sedekad. Buat pertama kali sejak merdeka, kerajaan persekutuan bertukar menerusi pilihan raya. Dua tahun kemudian, kerajaan berubah sekali lagi tanpa pilihan raya melalui Langkah Sheraton. Dalam satu penggal Parlimen, Malaysia mempunyai tiga perdana menteri. PRU15 pula menghasilkan Parlimen tergantung buat pertama kali.
Kita menyaksikan seorang bekas perdana menteri disabitkan kesalahan dan dipenjarakan. Kini, bekas perdana menteri tersebut diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga Ogos 2028. Seorang bekas timbalan perdana menteri yang pernah dipenjarakan pula akhirnya menjadi perdana menteri. Umno dan DAP — dua parti yang selama puluhan tahun berada pada kutub politik berbeza — kini berada dalam kerajaan sama.
Ketika sebahagian perkembangan demokratik ini penting; sebahagian lagi terus dipertikaikan. Tetapi, semuanya menunjukkan satu perkara, iaitu struktur dan budaya politik Malaysia sedang berubah dengan sangat pantas. Kita sedang mengalami apa yang boleh disebut sebagai ‘compressed transition’ — terlalu banyak perubahan besar berlaku dalam ruang masa terlalu singkat. Masalahnya bukan perubahan itu sendiri. Kita belum sempat menghadam satu perkara luar biasa apabila perkara luar biasa berikutnya tiba.
Terlalu banyak maklumat, terlalu sedikit masa berfikir
Keadaan ini menjadi lebih rumit apabila ‘permapolitical crisis’ ini bertemu satu lagi fenomena iaitu ‘infobesity’ — obesiti maklumat. Kita bukan kekurangan maklumat. Kita terlebih maklumat. Telefon di tangan membawa berita, video, komen, tangkap layar, podcast, TikTok, WhatsApp dan Facebook tanpa henti. Setiap orang bukan sahaja pengguna maklumat, malah boleh menjadi pengulas, penyunting dan penyebarnya. Masalahnya, lebih banyak maklumat tidak semestinya menghasilkan lebih banyak pengetahuan.
Dahulu, politik mempunyai jeda. Kenyataan dibuat hari ini, dilaporkan keesokannya dan dibahaskan kemudian. Ada sedikit ruang untuk membaca, menyemak dan berfikir. Hari ini, jeda itu hampir hilang. Ucapan lima minit dipotong menjadi klip 20 saat. Klip diberikan kapsyen. Kapsyen menghasilkan tafsiran. Tafsiran mencetuskan kemarahan. Kemarahan menghasilkan perkongsian. Sebelum kenyataan asal sempat dibaca, penghakiman sudah dibuat.
Ini menyemarakkan satu lagi fenomena yang menarik — ‘continuous partial attention’. Kita sentiasa memberikan sebahagian perhatian kepada terlalu banyak perkara kerana tidak mahu terlepas apa-apa. Dalam keadaan berpanjangan, ia boleh menghasilkan rasa sentiasa berjaga-jaga, seolah-olah berada dalam krisis berterusan serta mengurangkan ruang untuk refleksi dan membuat keputusan. Bukankah itu hampir menggambarkan cara kita mengikuti politik hari ini? Kita tahu sedikit tentang terlalu banyak perkara. Kita sentiasa ‘updated’, tetapi belum tentu semakin ‘informed’. Kita semakin pantas mengetahui apa yang berlaku, tetapi semakin kurang masa memahami mengapa ia berlaku.
Dari ‘infobesity’ kepada ketepuan politik
Di sinilah ‘infobesity’ bertemu ekonomi perhatian. Dalam dunia terlebih maklumat, sumber yang semakin mahal bukan maklumat, tetapi perhatian manusia. Maka, yang mendapat perhatian terbesar tidak semestinya perkara paling penting. Yang mengejutkan, memarahkan, memperlekehkan atau mengesahkan prasangka kita lebih mudah mendapat perhatian. Politik sangat sesuai dengan ekonomi seperti ini. Akibatnya, politik kini berlaku 24 jam sehari dan semakin banyak persoalan dibaca menerusi lensa politik.
Misalnya, prestasi pendidikan bukan lagi semata-mata persoalan bagaimana memperbaiki pembelajaran anak-anak, tetapi cepat menjadi persoalan siapa menterinya. Peruntukan pembangunan bukan sekadar dibincangkan dari sudut keutamaan, kemampuan fiskal dan keberkesanan perbelanjaan, tetapi mudah diterjemahkan sebagai siapa mendapat dan siapa dinafikan. Keputusan mahkamah atau institusi pula belum sempat diteliti dari sudut prinsip dan proses, kita sudah bertanya siapa yang menang secara politik?
Inilah ketepuan politik — ‘political saturation’. Bukan kerana perkara tersebut tidak mempunyai dimensi politik. Sudah tentu ada. Masalah bermula apabila politik menjadi lensa utama untuk memahami hampir segala-galanya. Kita semakin cepat bertanya siapa yang bercakap, sebelum bertanya apa yang dikatakan. Negara seperti berada dalam kempen pilihan raya yang tidak pernah berakhir — ‘permanent campaign’. Sedangkan negara tidak boleh selama-lamanya berada dalam mod berkempen. Pada suatu ketika, politik mesti kembali kepada tujuan lebih besar: menyelesaikan masalah dan membina negara.
Di manakah perekat yang menyatukan kita?
Malaysia pernah melalui politik yang jauh lebih panas. Namun, mengapa ruang awam ketika itu tidak terasa sebingit hari ini? Sebahagian jawapannya ialah struktur politik berbeza. Untuk tempoh yang panjang, Malaysia berada dalam sistem parti dominan. Ruang media lebih dikawal, pusat kuasa lebih jelas dan persaingan politik belum terbuka serta terpecah seperti hari ini. Sebahagian daripada “ketenangan” itu, dengan kata lain, bukan kerana kurangnya perbezaan, tetapi kerana ruang untuk menyuarakannya juga lebih terbatas. Namun, itu bukan keseluruhan ceritanya.
Pada masa sama, negara mempunyai naratif pembangunan yang relatif mudah dikenali. Wawasan 2020 menawarkan satu destinasi: Malaysia mahu menjadi negara maju menjelang 2020. Kemudian GTP dan ETP cuba menterjemahkan perjalanan tersebut kepada sasaran lebih konkrit — daripada jenayah, rasuah, pendidikan dan pengangkutan awam kepada transformasi ekonomi dan peningkatan pendapatan.
Tentunya tempoh itu bukan zaman yang sunyi daripada pergolakan. Skandal 1MDB berkembang menjadi krisis politik dan institusi yang besar. Perhimpunan Bersih, pertentangan kerajaan-pembangkang dan perdebatan tentang tadbir urus juga semakin sengit. Jadi, hujahnya bukan politik dahulu lebih tenang atau pentadbirannya lebih baik. Bezanya ialah dua perkara wujud serentak: politik dan media lebih terkawal, tetapi negara juga mempunyai horizon pembangunan yang relatif mudah dikenali.
Hari ini, kedua-duanya telah berubah. Politik jauh lebih kompetitif. Media sosial meruntuhkan banyak ‘gatekeeper’ lama. Setiap parti, ahli politik, pencipta kandungan dan rakyat biasa boleh membina serta menyebarkan naratif sendiri. Ini sebahagian daripada pendemokrasian ruang awam dan tidak seharusnya dilihat sebagai masalah semata-mata. Tetapi, demokrasi yang lebih terbuka juga memerlukan sesuatu yang mampu mengikat segala perbezaan itu kepada tujuan lebih besar. Di sinilah pentingnya perekat nasional. Perekat bukan bermaksud semua rakyat perlu bersetuju dengan kerajaan. Ia juga bukan alasan untuk kembali kepada zaman ruang politik lebih terkawal. Sebaliknya, ia adalah arah bersama yang cukup besar untuk membolehkan kita berbeza tentang politik, tetapi masih mempunyai gambaran tentang negara yang mahu dibina.
Malaysia hari ini tidak kekurangan agenda. Madani menyediakan kerangka dan hala tuju. Persoalannya sama ada ia sudah menjadi cita-cita bersama yang cukup kuat untuk menjadi perekat di tengah-tengah kebingitan politik ini. Cabaran Malaysia bukan untuk kembali kepada zaman politik kurang bingit kerana ruangnya lebih terkawal. Cabaran kita ialah bagaimana demokrasi yang semakin terbuka, kompetitif dan bingit dapat dipertemukan dengan arah negara yang cukup jelas untuk menjadi perekat bersama.
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.