Kerajaan bincang penganjuran F1 pada masa depan

Kerajaan sedang membincangkan kemungkinan untuk mengembalikan perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Malaysia, berikutan penganjuran aksi F1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu ini.
Ketika ditanya sama ada terdapat kemungkinan Malaysia kembali menganjurkan perlumbaan F1 pada masa depan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata: “Itu harapan saya. Kami sedang berbincang.”
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bekas pemandu F1 dan pengulas Sky Sports, Martin Brundle, dalam satu perbualan ringkas di grid di tepian Gulf Air Bahrain Grand Prix.
Anwar, yang basah kuyup akibat hujan lebat di Sepang, turut menyatakan keterujaan melihat F1 kembali ke negara ini.
“Seperti yang anda lihat, saya lencun tetapi sangat teruja. Seluruh negara meraikannya,” katanya kepada Brundle.
Hujan lebat dan air bertakung menyebabkan permulaan perlumbaan tertangguh. Perlumbaan akhirnya dimulakan pada 4.35 petang.
Hujung minggu ini menandakan kali pertama perlumbaan Formula Satu diadakan di Sepang sejak 2017, walaupun acara itu secara rasmi dikenali sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia.
Perlumbaan Bahrain dipindahkan ke SIC berikutan kebimbangan keselamatan yang timbul akibat konflik di Asia Barat, sekali gus mengembalikan Malaysia ke dalam kalendar F1.
Malaysia menganjurkan perlumbaan F1 sendiri di SIC setiap tahun dari 1999 hingga 2017. Pentadbiran Najib Razak menamatkan penganjuran itu selepas menyatakan kos penganjuran yang tinggi serta pulangan yang semakin merosot.
Kerajaan berkata Malaysia hanya perlu membelanjakan antara RM10 juta dan RM16 juta untuk persiapan, memandangkan Bahrain menanggung sebahagian besar kos berkaitan penganjuran perlumbaan itu.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, menganggarkan bahawa untuk mendapatkan tempat yang kekal dalam kalendar F1 akan menelan kos sekurang-kurangnya RM300 juta setahun bagi Malaysia, termasuk bayaran hak penganjuran.
Beliau berkata sebarang penganjuran secara kekal juga bergantung kepada sama ada kerajaan dapat memberikan justifikasi berhubung perbelanjaan, dan sama ada terdapat slot yang tersedia dalam kalendar F1 yang semakin padat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.