Status letak jawatan biar PM tentukan, kata Loke

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menyerahkan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menentukan penerimaan peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
Jelasnya, sehingga kini belum ada pertemuan dengan perdana menteri untuk membincangkan perkara itu.
“(Sama ada masih menteri atau tidak) anda perlu tanya kepada perdana menteri. Bagi saya, saya sudah letak jawatan,” katanya selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor di sini.
Pada 12 Nov lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau mahu berunding semula dengan Loke berhubung peletakan jawatannya sebagai menteri pengangkutan.
Anwar berkata, sebagai perdana menteri, beliau belum membuat keputusan berkaitan surat peletakan jawatan Loke yang telah diterimanya.
Lambang sendiri
Loke berkata, DAP sentiasa terbuka kepada cadangan untuk parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan lambang masing-masing pada PRU16, tetapi perkara itu perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH terlebih dahulu.
“DAP juga akan memberikan pandangan kita dan sudah tentu kita juga ada cadangan bagaimana kita mahu bergerak ke hadapan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.”
Ditanya sama ada DAP bersedia menjayakan agenda khemah besar dengan parti di luar PH, termasuk Bersatu, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan secara dalaman, bukannya secara terbuka di media.
“Jadi, yang paling baik segala cadangan dan perbincangan ini diadakan terlebih dahulu sebelum sesuatu kenyataan dibuat secara terbuka atau di media. Ia tidak akan mencapai hasrat atau objektif yang diinginkan, jika dibincangkan secara terbuka.
“Ini kerana masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. DAP juga mempunyai pandangan kita sendiri. Jadi, seperti yang saya katakan, adalah lebih baik cadangan itu dibincangkan secara tertutup,” katanya sambil menambah cadangan khemah besar itu hanya di peringkat Amanah, bukannya PH.
Tegasnya, setakat ini, tiada sebarang perbincangan dibuat DAP berhubung kerjasama dengan Bersatu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.