PN di landasan bentuk kerajaan lebih baik, kata Saifuddin

Perikatan Nasional (PN) dikatakan berada di landasan untuk membentuk kerajaan yang lebih baik di Putrajaya, berdasarkan prestasi pemimpinnya di peringkat nasional dan negeri sejak empat tahun lalu.
Setiausaha Agung Parti Wawasan Negara (Wawasan), Saifuddin Abdullah, berkata ketika Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin memberikan perbahasan yang bernas dan pedas di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara yang ‘paling berkesan dalam sejarah’.
Katanya, portfolio yang pembangkang tubuh untuk membayangi kerajaan kelihatan ‘agak setara’ dengan sesetengah kementerian dalam hal tertentu.
“Contohnya, portfolio pendidikan, dengan dokumen ‘Cadangan Reformasi Pendidikan’, mampu sparring dengan Kementerian Pendidikan,” katanya dalam ruangan ‘Merentas Ruang’ terbitan Sinar Harian.
Di luar Parlimen, Saifuddin berkata, Hamzah tahun lalu membentangkan Konsensus Nasional Baharu sebagai ‘gagasan ke arah Malaysia yang lebih baik’.
Wawasan memperkenalkan Konsensus Nasional Baharu sebagai kerangka yang akan menjadi ‘hala tuju baharu pentadbiran negara’, berteraskan matlamat bersama, kemakmuran bersama, dan tadbir urus berperikemanusiaan.
Saifuddin turut menarik perhatian kepada sambutan diterima Hamzah di peringkat antarabangsa.
Katanya, ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Filipina, Hamzah diundang menyampaikan syarahan khas di Lugano Global Forum, Switzerland.
“Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membuktikan kepimpinannya di dalam dan luar Parlimen,” katanya.
Di sebalik pencapaian di peringkat nasional, negeri ditadbir PN turut menunjukkan prestasi yang beliau sifatkan sebagai menggalakkan.
“Kedah, contohnya, adalah antara negeri utama di Malaysia dari segi tarikan pelaburan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota.
Kedah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM194.8 bilion dalam tempoh 2020 hingga Jun 2026, menurut Urus Setia Penerangan Darul Aman. Pemimpin PAS iaitu Sanusi Nor menjadi menteri besar negeri itu sejak Mei 2020.
Saifuddin berkata, beliau optimis apabila melihat pencapaian-pencapaian ini.
“Pada saya, kita harus terus dengan gambaran besar, iaitu perjuangan yang berasaskan nilai, untuk membentuk kerajaan baharu yang lebih baik di Putrajaya. Demi kebaikan rakyat.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.