Sindiket seludup methamphetamine guna pesawat tentera 21 kali

Sindiket dadah melibatkan beberapa anggota tentera udara menggunakan pesawat tentera sebanyak 21 kali menyeludup methamphetamine dengan anggaran nilai pasaran RM156 juta, sebelum berjaya ditumpaskan minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, memberitahu Dewan Rakyat bahawa sindiket di Tawau menggunakan aset tentera tujuh kali, menyeludup 1.8 tan metrik methamphetamine.
Sementara itu, sindiket di Labuan menggunakan aset tentera 14 kali, menyeludup 1.2 tan metrik dadah.
Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah beroperasi beberapa tahun.
“Dan ianya melibatkan satu sindiket besar yang establish. Sebahagian daripadanya kita dah tangkap, dah tuduh, dah penjara. Sebahagiannya masih bebas,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri.
Beliau berkata demikian menjawab Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang bertanyakan bagaimana penyeludup dadah terbabit dapat menggunakan aset tentera udara menghantar bahan narkotik berkenaan.
Katanya, siasatan itu berpotensi membongkar rangkaian jenayah terancang yang lebih luas dan beberapa individu berprofil tinggi juga mungkin berdepan tindakan.
Tambahnya, mereka yang ditahan tidak akan terlepas, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Beliau berkata, polis mungkin mempertimbangkan untuk menyiasat perkara itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma. Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Saifuddin berkata, polis mula mengumpul maklumat risikan pada Januari dan berkongsi dapatan mereka dengan angkatan tentera pada September dan Oktober, yang membawa kepada serbuan pada 17 Nov.
Operasi intipan polis itu membawa kepada penahanan lima pegawai tentera udara, dua anggota lain-lain pangkat, dan enam orang awam, serta rampasan 96.64kg methamphetamine bernilai RM4.83 juta.
Ketua sindiket tersebut telah dikenal pasti, namun masih bebas.
Saifuddin berkata, siasatan awal mengesahkan penglibatan suspek yang mempunyai akses dan hubungan dengan anggota tentera serta operasi penerbangan.
Polis sedang meluaskan siasatan bagi mengenal pasti pihak yang membiayai, merancang, dan melaksanakan operasi penyeludupan berkenaan.
Minggu lalu, Menteri Pertahanan Khaled Nordin, mendedahkan pemeriksaan bagasi rutin di pangkalan udara Subang membawa kepada penemuan lima beg dan sebuah kotak berisi dadah, serta penahanan lima pegawai tentera udara.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.