Pelan kerusi Amanah bagi PRU16 beri bayangan pakatan PH-Bersatu

Rancangan Amanah untuk bertanding di 32 kerusi Parlimen pada PRU16 memberi petunjuk bahawa Pakatan Harapan (PH) sedang menyediakan ruang untuk membentuk pakatan dengan bekas parti komponennya, Bersatu, kata seorang penganalisis politik.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia berkata Amanah bertanding di 54 kerusi Parlimen pada PRU15 pada 2022, ketika Bersatu bukan lagi sebahagian daripada PH dan gabungan itu bertanding di 220 daripada 222 kerusi Parlimen.
Sebagai perbandingan, Amanah hanya bertanding di 34 kerusi pada PRU14 pada 2018, ketika Bersatu merupakan komponen PH dan diperuntukkan 53 kerusi untuk ditandingi.

“Ia kelihatan PH sedang menyediakan ruang untuk Bersatu dengan meminta Amanah melepaskan sebahagian kerusi yang dirancang untuk ditandinginya,” kata Azmil kepada FMT.
“Ini masuk akal kerana Amanah kini merupakan wadah utama PH di kerusi majoriti Melayu, iaitu kawasan yang turut ditandingi Bersatu.”
Bagaimanapun, Azmil berkata prestasi Bersatu tidak akan jauh lebih baik berbanding Amanah sekiranya berdepan pakatan Umno-PAS pada PRU16, dengan merujuk kepada kekalahan besar parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Naib Presiden The Asia Group, Asrul Sani, berkata sasaran kerusi Amanah itu akan mengundang spekulasi mengenai kemungkinan pakatan PH dengan Bersatu di peringkat Persekutuan, namun turut mencerminkan jangkauan pilihan raya parti itu yang lemah di kawasan majoriti Melayu.
Asrul berkata Amanah dilihat memberi tumpuan kepada jumlah kawasan pilihan raya yang lebih kecil, iaitu kawasan yang diyakininya mampu ditandingi, namun prestasinya dalam pilihan raya kebelakangan ini masih jauh daripada memuaskan.
Amanah memenangi 11 kerusi Parlimen pada PRU14, namun jumlah itu merosot kepada lapan pada PRU15.
Parti itu berjaya memenangi satu kerusi dalam PRN Johor pada Julai, tetapi tewas di semua sembilan kawasan yang ditandinginya dalam PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos. Parti itu juga gagal memenangi sebarang di Sabah, yang mengadakan pilihan raya pada November tahun lalu.
PRU16: Amanah mungkin kalah di semua kerusi
Asrul berkata Amanah berdepan kekalahan di semua kerusi yang ditandinginya pada PRU16 sekiranya Umno dan PAS mengesahkan pakatan untuk pilihan raya itu, sambil merujuk kepada prestasi buruk parti itu dalam PRN baru-baru ini.
Beliau berkata parti serpihan PAS itu, yang menggelarkan dirinya sebagai parti Islam progresif, gagal membawa masuk undi Melayu luar bandar untuk PH, malah penguasaan kuasa di peringkat Persekutuan juga tidak membantu perjuangannya.
Katanya, penyatuan undi Melayu menerusi pakatan Umno-PAS akan menyukarkan Amanah untuk mempertahankan kerusi Parlimen sedia ada, termasuk Kota Raja yang disandang presiden parti itu, Mohamad Sabu, dengan pengundi Melayu membentuk 40% daripada jumlah pengundi.

“Kekalahan di semua kerusi merupakan kemungkinan yang nyata bagi Amanah. PRU mempunyai dinamik yang berbeza, jadi kekalahan di semua kerusi bukan sesuatu yang pasti, tetapi parti itu tidak boleh mengetepikan risiko berkenaan.
“Prestasi terbaharunya menimbulkan persoalan lebih mendalam tentang sama ada parti itu mampu menarik sokongan pengundi Melayu yang mencukupi untuk terus relevan dalam pilihan raya sebagai sebahagian daripada PH.”
Azmil turut bersetuju bahawa Amanah berkemungkinan tidak mampu memberikan saingan besar di kawasan Parlimen majoriti Melayu.
Beliau merujuk kepada rekod parti itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, sambil berkata PH sendiri berdepan defisit kepercayaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Saya melihat trend itu tidak akan berubah dengan memihak kepada Amanah dalam masa terdekat. Selain defisit kepercayaan, Amanah tidak mampu bersaing dengan Umno dan PAS dari segi jentera akar umbi dan kesetiaan kepada parti.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.