MB Perlis enggan komen penggantungan keahlian Bersatu

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah enggan mengulas penggantungan keahliannya dalam Bersatu selama dua penggal pemilihan parti.
“Saya tak mahu komen buat masa sekarang,” katanya ringkas kepada FMT.
Terdahulu, Berita Harian melaporkan Pengerusi Bersatu Perlis Izizam Ibrahim mengesahkan Abu Bakar digantung keahlian berkuat kuasa 13 Okt, dengan surat memaklumkan keputusan itu dikeluarkan minggu lalu.
Surat bertarikh 14 Okt itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu Mohd Radzi Manan dan memaklumkan penggantungan Abu Bakar yang juga ketua Bersatu Kangar.
Tindakan itu didakwa diambil susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Sepanjang tempoh penggantungan, Abu Bakar turut dilucutkan semua jawatan dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu. Beliau diberi tempoh 14 hari dari tarikh notis untuk mengemukakan rayuan.
Pada Julai, Abu Bakar dan Exco Perlis Marzita Mansor meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, namun kekal sebagai ahli parti.
Ketika itu, Abu Bakar berkata keputusan berkenaan dibuat bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pentadbiran Perlis, selain berdepan kesukaran menghadiri mesyuarat MPT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.