Rakyat Melaka wajar nilai kenyataan ‘dajal’ Hadi, kata PH

Rakyat Melaka wajar menilai PAS berdasarkan kenyataan dan tindakannya, selepas Presidennya Hadi Awang menyamakan perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) dengan pendekatan ‘dajal’, kata Pakatan Harapan (PH) negeri.
Pengerusinya, Adly Zahari, berkata penggunaan label agama melampau dalam pertikaian politik berisiko menggugat keharmonian masyarakat.
“Jangan sampai rakyat bermusuh sesama jiran dan keluarga, sedangkan pemimpin yang mencetuskan pertelingkahan sudah bersalaman mencari gabungan baharu,” katanya dalam kenyataan.
Naib presiden Amanah itu mengulas kenyataan Hadi pada Selasa lalu yang menyifatkan CSA antara kerajaan dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang sebagai pendekatan dajal pada akhir zaman.
Hadi mendakwa perjanjian itu menjadikan kuasa bukan lagi amanah kepada rakyat, sebaliknya alat memaksa sokongan untuk terus berkuasa.
Adly berkata, perjanjian politik sepatutnya dinilai berdasarkan kandungan dan hujah, bukannya menggunakan label agama melampau untuk menakutkan rakyat.
“Kami setuju hasil negara ialah hak seluruh rakyat dan kebajikan mereka tidak boleh disyaratkan dengan sokongan politik.
“Jika ada fasal CSA yang menafikan prinsip ini, nyatakan fasalnya dan kemukakan bukti. Istilah yang menggerunkan tidak menjadikan sesuatu tuduhan lebih berasas.”
Beliau mengingatkan PAS supaya mengambil pengajaran daripada Amanat Haji Hadi yang disampaikan di Banggol Peradong pada 7 Apr 1981.
Menurutnya, penerbitan Jabatan Mufti Melaka merekodkan perpecahan yang dikaitkan dengan amanat itu, termasuk pertelingkahan keluarga, pemulauan kenduri dan pertikaian sembelihan.
Katanya, fatwa mengenai amanat itu diwartakan di Melaka pada 25 Jul 2002, dengan ketetapan ia bercanggah ajaran Islam, kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agamanya serta prinsip dakwah Islamiah. Penyebaran, pengajaran dan pengamalannya turut dilarang.
Beliau turut merujuk fatwa Larangan Kafir-mengkafir Sesama Umat Islam yang diwartakan di Melaka pada 26 Sept 2013.
Adly turut mempersoalkan sama ada PAS mahu terus mempertahankan politik melabel, selain menggesa sekutunya menyatakan pendirian.
Tegasnya, PH Melaka menolak penggunaan sentimen agama untuk menakutkan rakyat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.