Presiden Myanmar bakal lawat Malaysia

Presiden Myanmar Min Aung Hlaing akan melawat Malaysia dalam tempoh beberapa hari lagi bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Myanmar di negara ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata antara syarat dikemukakan Malaysia ialah warga Myanmar perlu dibenarkan pulang ke negara mereka dengan jaminan bahawa mereka akan dilayan dengan sewajarnya.
“Kita letak syarat bahawa kita perlu pulangkan warga Myanmar dan mesti ada jaminan layanan yang baik kepada mereka supaya tidak berlaku penderaan, tekanan atau pencabulan hak asasi manusia,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Bulan lalu, Anwar berkata beliau akan menjemput Min Aung Hlaing melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam usaha mempercepat penghantaran pulang kira-kira 200,000 pelarian Rohingya di negara ini.
Anwar berkata langkah diplomatik itu bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan yang menimbulkan kebimbangan dan kemarahan dalam kalangan masyarakat tempatan.
Menurutnya, dalam rundingan sebelum ini, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya secara berperingkat.
Seramai 1,476 warga Myanmar dihantar pulang pada 29 Sept lalu menggunakan tiga kapal tentera laut Myanmar dalam fasa pertama program penghantaran pulang itu.
Malaysia kini menunggu pengesahan daripada Myanmar mengenai tarikh pelaksanaan fasa kedua yang membabitkan penghantaran pulang 3,524 lagi warga Myanmar.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.