New York isytihar darurat bencana susulan wabak campak

New York pada Isnin mengisytiharkan darurat bencana di seluruh negeri itu susulan wabak campak, pengisytiharan pertama seumpamanya oleh sebuah negeri di Amerika Syarikat (AS) sejak kes mula melonjak pada 2025, lapor Xinhua.
Gabenor New York Kathy Hochul mengeluarkan perintah eksekutif bagi mengisytiharkan ‘Darurat Bencana Negeri’ sebagai tindak balas terhadap peningkatan kes campak di seluruh negeri itu.
Menurut perintah eksekutif berkenaan, sebanyak 108 kes campak dilaporkan dalam kalangan penduduk New York tahun ini setakat Sabtu. Daripada jumlah itu, 92 kes dilaporkan sejak 15 Julai, kebanyakannya dalam komuniti luar bandar dengan kadar imunisasi rendah di 18 kaunti.
Sebanyak tujuh kes disahkan di Bandar Raya New York.
Wabak itu berlaku ketika kes campak meningkat di kawasan luar bandar New York dan negeri-negeri berjiran. Jabatan Kesihatan Pennsylvania pada Isnin mengumumkan sebanyak 1,004 kes campak disahkan di 39 kaunti di Pennsylvania setakat ini pada 2026, dengan lima kematian disahkan berkaitan campak.
Perintah itu memperluas kumpulan profesional penjagaan kesihatan yang diberi kuasa untuk memberikan vaksin campak. Kerajaan negeri turut melancarkan ‘Measles Dashboard’, iaitu platform dalam talian yang menyediakan maklumat terkini mengenai kes campak bagi membantu orang ramai dan pegawai kesihatan memantau risiko setempat serta meningkatkan kesedaran.
Darurat itu berkuat kuasa pada Isnin hingga 4 Nov, menurut kenyataan kerajaan Negeri New York.
Setakat 1 Okt, AS merekodkan 3,887 kes campak yang disahkan pada 2026. Daripada jumlah itu, 3,869 kes dilaporkan oleh 47 bidang kuasa, manakala 18 kes campak dilaporkan dalam kalangan pelawat antarabangsa ke AS, menurut data terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Agensi itu mengesyorkan dua dos vaksin campak, beguk dan rubela sebagai perlindungan terbaik terhadap campak.
Liputan vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak tadika di AS menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kepada 92.4% pada tahun persekolahan 2025-2026, di bawah sasaran liputan 95%, dengan kadar lebih rendah dicatatkan di sesetengah komuniti, menurut CDC.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.