Isu tahanan rumah Najib beri momentum kepada Umno, kata Tuan Ibrahim

Isu tahanan rumah membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak dilihat memberi momentum kepada Umno menjelang PRN Melaka, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau juga yakin momentum berkenaan akan berterusan hingga ke PRU akan datang sekali gus membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut.
“Saya tengok momentum isu Najib ditahan dalam rumah ini sebagai satu momentum dalam kalangan orang Melayu, khususnya Umno.
“Saya tengok momentumnya agak baik, agak lebih tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah Grand Finale BN-PN DUN Paya Rumput malam tadi.
Tuan Ibrahim juga menolak persepsi perintah yang membenarkan bekas presiden Umno itu menjalani baki hukuman penjara atas kesalahan rasuah bawah tahanan rumah itu bermakna beliau diberi pembebasan sepenuhnya.
Katanya, status tahanan rumah tidak bermaksud Najib telah dibebaskan, sebaliknya beliau masih menjalani hukuman penjara melalui kaedah tahanan berkenaan.
Tambahnya, perintah tahanan rumah ini mungkin kali pertama dilaksanakan di Malaysia tetapi ia bukan perkara baharu di dunia.
Beliau turut menyebut beberapa contoh, termasuk bekas pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi dan bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, yang pernah melalui bentuk tahanan rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim berkata kerjasama jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen PRN Melaka berjalan dengan baik, malah lebih tersusun berbanding di Negeri Sembilan.
Katanya, kedua-dua gabungan itu bergerak sebagai satu pasukan sejak hari penamaan calon, termasuk melalui penglibatan petugas PAS membantu calon BN dan petugas BN membantu calon PN di kawasan masing-masing.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.