Peguam sokong Kursus Baharu Guaman, yakin tingkat kualiti calon

Kursus Baharu Guaman (NBC) yang wajib selama enam bulan dan dijangka bermula pada 2028 akan membantu memastikan bakal peguam memenuhi tahap kecekapan dan piawaian profesional yang diperlukan sebelum memulakan latihan dalam kamar, menurut dua peguam kanan.
Mereka menjelaskan bahawa di bawah sistem semasa, calon boleh memilih untuk menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) selepas mengikuti kursus persediaan atau melalui pembelajaran sendiri.
Kedua-dua peguam itu berkata laporan tahunan pemeriksa peperiksaan itu sering membangkitkan isu kekurangan persediaan, kelemahan memahami soalan dan pendedahan praktikal yang terhad dalam kalangan calon, iaitu kelemahan yang ingin ditangani menerusi NBC.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, menyambut baik pembaharuan yang dicadangkan itu, sambil berkata program latihan profesional berstruktur boleh meningkatkan kadar kelulusan CLP tanpa menurunkan piawaian yang diperlukan untuk diterima masuk ke dalam profesion guaman.
“NBC akan menyediakan penilaian praktikal, sukatan pelajaran dan latihan yang diperlukan bagi memenuhi tuntutan semasa profesion guaman. Penekanan NBC bukanlah terhadap peperiksaan yang ketat.
“Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada pembangunan kemahiran kritikal berkaitan advokasi, prosedur dalam kes sivil dan jenayah, undang-undang korporat, mediasi, penyediaan dokumen undang-undang serta kemahiran penting lain yang diperlukan dalam profesion ini,” katanya kepada FMT.
Salim berkata rangka kerja CLP ketika ini, yang tidak mewajibkan calon mengikuti kursus persediaan, terbukti tidak memadai, seperti yang ditunjukkan oleh kadar kelulusan yang kekal rendah secara konsisten antara 19% hingga 23% sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Undang-Undang M Kulasegaran baru-baru ini memberitahu Parlimen bahawa di bawah NBC, calon diwajibkan mengikuti kursus sijil pascasiswazah amalan guaman (LPPC) selama enam bulan yang ditawarkan oleh institusi bertauliah Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) sebelum dibenarkan menduduki peperiksaan.
Bagaimanapun, pemegang ijazah undang-undang luar negara yang tidak diiktiraf oleh LPQB perlu lulus kursus peralihan selama tiga bulan menerusi belajar sendiri melalui platform dalam talian yang akan dibangunkan lembaga itu.

Ahli Majlis Peguam, Kokila Vaani Vadiveloo, berkata laporan pemeriksa CLP mengenal pasti kelemahan calon dalam mengenal pasti isu undang-undang, menerapkan prinsip undang-undang kepada fakta serta menyokong jawapan mereka dengan peruntukan statutori dan kes undang-undang yang berkaitan.
“Latihan praktikal merupakan aspek paling bernilai dalam pembaharuan yang dicadangkan. Lulus peperiksaan bertulis tidak semestinya bermakna seseorang itu sudah bersedia untuk mengamalkan undang-undang.
“Sebagai contoh, seorang peguam yang baru memperoleh kelayakan mungkin memahami prinsip undang-undang yang mengawal perintah injunksi, tetapi masih menghadapi kesukaran menyediakan afidavit, mengenal pasti keperluan prosedur, menasihati anak guam mengenai risiko yang terlibat atau mengemukakan permohonan itu dengan berkesan di mahkamah.”
Bekas Pengerusi Majlis Peguam Selangor itu berkata kursus wajib akan menangani kelemahan berkenaan menerusi pengajaran berstruktur, penilaian berkala, peperiksaan percubaan dan maklum balas secara individu.
Kokila berkata objektifnya adalah untuk membantu lebih ramai calon mencapai piawaian yang ditetapkan, bukannya menurunkan piawaian bagi meningkatkan jumlah calon yang lulus.
Katanya, calon yang hanya bergantung pada pembelajaran secara hafalan mungkin menghadapi kesukaran melaksanakan tugas-tugas ini walaupun mereka telah memperoleh pengetahuan teori yang luas.
Beliau turut berkata kursus peralihan dan LPPC yang diwajibkan itu akan menangani punca asas kegagalan calon.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.