Logo sendiri mungkin bantu PKR, Amanah elak bayang DAP, kata penganalisis

Cadangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan lambang masing-masing pada PRU16 mungkin boleh membantu PKR dan Amanah untuk mengurangkan kaitan imej mereka dengan DAP bagi menarik sokongan pengundi Melayu, kata penganalisis.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata DAP sering menjadi sasaran serangan politik pihak lawan, sekali gus mungkin mendorong PKR dan Amanah menonjolkan identiti sendiri bagi mendekati pengundi Melayu, khususnya golongan atas pagar.

Katanya, langkah itu mungkin membantu kedua-dua parti mengatasi persepsi negatif terhadap DAP yang dilihat menjadi antara halangan PH mendapatkan sokongan Melayu.
“Barangkali itu sebagai satu strategi,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Ketua Pemuda PKR Kamil Munim yang dipetik berkata cadangan parti komponen PH menggunakan lambang masing-masing pada PRU16 wajar dipertimbangkan pucuk pimpinan gabungan itu.
Menurutnya, ia mengambil kira pengalaman pilihan raya sebelum ini serta suasana politik semasa.
Penasihat DAP Lim Guan Eng secara peribadi berpandangan parti itu sedia menggunakan lambang roket pada PRU16, mengulas kenyataan Kamil itu.
Bagaimanapun, Mazlan berkata penggunaan lambang berasingan berisiko menimbulkan persepsi bahawa PH semakin kurang bersatu sebagai sebuah gabungan politik.
“Gabungan itu macam dah macam longgar. Itu persepsi mungkin muncul,” katanya.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata cadangan berkenaan menggambarkan masalah lebih besar dihadapi PH, khususnya kesukaran gabungan itu menarik sokongan pengundi Melayu.
Menurutnya, ada tanggapan stigma negatif terhadap DAP menjadi antara punca PKR dan Amanah sukar mendapat sokongan lebih luas daripada pengundi Melayu.
Katanya, penggunaan lambang sendiri mungkin dilihat sebagai usaha kedua-dua parti menjauhkan imej mereka daripada persepsi negatif terhadap DAP.
“Bagi pengundi bukan Melayu tak ada masalah mengundi DAP tapi bagi pengundi Melayu itu adalah masalah besar untuk mengundi calon daripada DAP.
“Jadi itu saya rasa pemahaman ataupun strategi walaupun itu adalah pandangan peribadi tetapi ia menggambarkan masalah yang sedang dihadapi oleh gabungan Pakatan Harapan itu sendiri,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.