DAP Selangor mahu tanding semula DUN Dusun Tua

DAP Selangor mahu bertanding semula di DUN Dusun Tua pada PRN akan datang selepas memberi laluan kepada Umno pada PRN 2023.
Pengerusinya, Ng Sze Han, berkata parti itu bukan saja berhasrat meletakkan calon, malah sudah memulakan persiapan dengan melantik Naib Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dan Adun Balakong, Wayne Ong sebagai penyelaras parti di Dusun Tua.
Menurutnya, jentera pilihan raya DAP di Dusun Tua akan bergerak di bawah pimpinan dua penyelaras itu dan beliau meminta semua ahli parti di Hulu Langat membuat persiapan mulai sekarang.
“Pada (PRU) 2018, DAP menang di Dusun Tua. Pada 2023, demi kerajaan perpaduan, kita tidak bertanding di sana.
“Pada PRN akan datang, DAP akan turun bertanding dan memenangi Dusun Tua,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor di sini.
Kerusi Dusun Tua kini disandang Johan Abd Aziz daripada Umno yang memenanginya pada PRN Selangor 2023 dengan majoriti 3,014 undi.
Sementara itu, Ng menggesa jumlah kerusi DUN Selangor ditambah berbanding 56 kerusi ketika ini yang tidak berubah sejak 2003 susulan pertambahan penduduk dan pengundi.
“Ambil contoh DUN saya sendiri. Kinrara ada 134,016 pengundi. Sungai Air Tawar ada 20,336 pengundi. Pengundi Kinrara lebih enam kali ganda, sebab itu kerusi DUN Selangor mesti ditambah. Rakyat bertambah, wakil rakyat pun mesti bertambah.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.