Anwar tekankan keselamatan Selat Hormuz dalam pertemuan sulung bersama presiden Iran

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru laluan maritim selamat di Selat Hormuz dijamin dalam pertemuan sulungnya bersama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Anwar berkata, kebebasan dan keselamatan kapal melalui selat itu mesti dikekalkan selaras undang-undang antarabangsa.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap konflik dan peningkatan ketegangan yang berterusan di Asia Barat, serta menggesa semua pihak kembali ke meja perundingan dan diplomasi.
Kedua pemimpin berkenaan bertemu di sela-sela Sidang Kemuncak BRICS selepas beberapa kali berhubung melalui telefon, sejak Pezeshkian memegang jawatan presiden pada Julai 2024.
Selat Hormuz menjadi perhatian Malaysia susulan gangguan terhadap laluan perkapalan di kawasan berkenaan sejak awal tahun ini.
Ketika itu, Anwar memohon bantuan Tehran bagi kapal milik Malaysia yang terjejas akibat gangguan tersebut, membawa kepada tindakan Iran kemudiannya membenarkan kapal terbabit melalui di selat tersebut.
Anwar dan Pezeshkian turut membincangkan usaha melebarkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam sektor tenaga, pertanian, minyak kelapa sawit, keterjaminan makanan, dan industri halal.
Kedua pemimpin juga meneroka kerjasama lebih luas dalam bidang teknologi dan pengajian tinggi, selain memperkukuh lagi hubungan diplomatik berpanjangan antara Malaysia dan Iran.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.