Pimpinan tertinggi PN mahu jumpa JPPM susulan penggantungan

Pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) memohon pertemuan dengan ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) susulan keputusan menggantung semua aktiviti gabungan itu.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata gabungan itu kini di peringkat akhir menyiapkan penjelasan rasmi berhubung aduan dikemukakan Bersatu dan akan menyerahkannya dalam tempoh dua minggu.
“Semalam, pimpinan PN juga menghantar surat memohon pertemuan khas dengan ketua pengarah JPPM bagi mendapatkan penjelasan mengenai keadaan itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Takiyuddin berkata PN tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku selepas penjelasan itu dikemukakan, sambil mengakui kemungkinan pendaftaran gabungan berkenaan dibatalkan.
“Kalau penjelasan kita memuaskan JPPM, mungkin kita tidak dibatalkan pendaftaran.
“Kalau tidak memuaskan, mungkin kita dibatalkan. Itu sahaja,” katanya.
Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS sekali lagi mempersoalkan masa penggantungan itu dibuat kerana ia berlaku pada hari sama Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya negeri.
JPPM menggantung semua aktiviti PN pada Rabu, sehari selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab susulan aduan yang dikemukakan Bersatu.
Jabatan itu sebelum ini menjelaskan penggantungan berkenaan bertujuan melindungi kepentingan pertubuhan dan bukan bermaksud pendaftaran PN sudah dibatalkan.
Takiyuddin sebelum ini mendakwa kemungkinan wujud tekanan politik di sebalik tindakan terhadap PN.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.