Jangan normalkan politik AC/DC

Seorang calon yang mengetuk pintu rumah di Melaka perlu bersedia menjawab soalan tentang pekerjaan anak muda, harga rumah atau jalan yang sesak. Seorang menteri yang naik ke pentas kempen di negeri yang sama berdepan satu soalan tambahan.
Apabila beliau mengkritik pihak yang turut menganggotai kerajaannya, di manakah kedudukannya sendiri dalam keputusan yang sedang dipersoalkan? Sejak bila seorang anggota kerajaan boleh bercakap seolah-olah dia juga pemerhati?
Bagi saya, di situlah pengajaran terpenting PRN Melaka. Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi, menyamai pencapaiannya pada 2021. Pakatan Harapan (PH) merosot daripada lima kepada empat kerusi, manakala Perikatan Nasioanal (PN) meningkat daripada dua kepada tiga.
Dari segi bilangan kerusi, BN mengekalkan penguasaannya, PH semakin mengecil dan PN menambah kedudukan. Keempat-empat kerusi PH dimenangi DAP, sementara PKR dan Amanah gagal memperoleh sebarang kerusi.
Maka, keputusan ini bukan sekadar soal siapa membentuk kerajaan negeri, tetapi juga sejauh mana setiap parti masih mampu meyakinkan pengundi.
Untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam kerajaan perpaduan, kita perlu meneliti apa yang pemimpinnya pilih untuk dikatakan ketika meminta rakyat mengalahkan rakan sendiri.
Dari pintu rumah ke pentas ceramah
Pada minggu pertama, Bernama melaporkan kempen banyak bergerak dari rumah ke rumah. Parti-parti membentangkan manifesto.
PH, misalnya, menawarkan 30% kontrak kerja pihak berkuasa tempatan kepada golongan muda. BN dan PN pula mengemukakan manifesto bersama yang antara lain menawarkan bantuan pensijilan TVET kepada anak keluarga B40.
Kedua-dua tawaran ini menyentuh persoalan yang dekat dengan keluarga di Melaka. Bagaimana anak mereka boleh mendapat pekerjaan dan membina kehidupan di negeri sendiri?
Kempen seperti ini membolehkan pengundi menyoal calon dengan cukup khusus. Siapa layak menerima kontrak? Bagaimana pemilihannya dibuat? Sijil kemahiran yang ditawarkan itu membuka peluang kerja dengan majikan mana?
Calon yang menang kelak boleh dinilai berdasarkan jawapannya. Malah manifesto bersama BN dan PN memberi pengundi asas untuk menuntut tanggungjawab daripada kedua-dua gabungan jika janji mereka gagal ditunaikan.
Nada perbincangan berubah apabila pemimpin nasional turun berkempen.
Di pentas Jelajah Harapan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membangkitkan kritikan daripada orang dalam kerajaannya sendiri, lalu menyebut timbalannya sambil berseloroh.
Beberapa hari sebelumnya, ketika menjawab soalan pemberita tentang kemungkinan rombakan Kabinet, Zahid Hamidi berpandangan lebih baik Parlimen dibubarkan.
Kenyataan pertama dibuat dalam ceramah, yang kedua dalam jawapan kepada media. Kedua-duanya membawa persoalan tentang hubungan di Putrajaya ke tengah kempen negeri.
Yang menarik ialah pilihan modal politiknya. Anwar meminta pendengar menilai kewajaran seorang anggota kerajaan mengecam pentadbirannya sendiri. Zahid pula mengajak rakyat memikirkan sama ada menukar menteri masih memadai.
Kedua-dua persoalan itu sah. Namun, pengundi yang hadir untuk memilih wakil Melaka tidak mempunyai ruang pada kertas undi DUN untuk menjawab salah satu daripadanya.
Pemimpin sendiri telah membawa kempen melampaui mandat yang sedang dipertandingkan.
Apabila tanggungjawab berubah mengikut pentas
Dalam sebuah persekutuan, munasabah untuk dua parti bekerjasama di peringkat pusat dan bersaing tentang cara terbaik mentadbir sesebuah negeri.
PH berhak mencabar rekod BN di Melaka. BN juga berhak menawarkan kerjasama dengan PAS.
Yang perlu dijelaskan ialah keputusan mana yang dibuat oleh kerajaan negeri dan keputusan mana yang turut dipersetujui oleh menteri daripada parti yang kini mengkritiknya. Tanpa penjelasan itu, bagaimana pengundi hendak menentukan siapa yang patut menjawab?
Itulah yang saya maksudkan dengan politik AC/DC.
Di hadapan satu khalayak, pemimpin meminta keputusan Kabinet dihormati sebagai keputusan bersama. Di hadapan khalayak lain, pemimpin yang sama boleh meraih tepukan dengan mengecam sekutunya tanpa menerangkan pendirian yang diambilnya ketika keputusan dibuat.
Amalan itu tidak sihat untuk demokrasi kerana pengundi boleh mendengar dua ucapan yang berbeza daripada seorang menteri tetapi masih tidak tahu apakah pendiriannya dalam kerajaan.
Ada kesan lain yang jarang ditanggung oleh mereka yang berucap.
Selepas pengundian, menteri boleh kembali bekerja dengan pemimpin yang dikritiknya. Petugas parti yang berkempen dari rumah ke rumah pula perlu menjelaskan kepada jiran mengapa orang yang diminta mereka kalahkan semalam masih menjadi rakan pentadbiran hari ini.
Di situlah cara berkempen meninggalkan kesan yang lebih lama daripada keputusan pilihan raya.
Perjanjian 16 Dis 2022 sudah menyediakan asas untuk mengurus perbezaan. Parti-parti mengekalkan identiti masing-masing, menerima prinsip muafakat dan tanggungjawab bersama serta memperuntukkan sebuah Majlis Perundingan.
Hampir empat tahun pentadbiran berjalan selepas PRU15 menghasilkan Parlimen tergantung. Itu pencapaian yang wajar diakui.
Persaingan di Melaka sendiri belum membuktikan mana-mana fasal diingkari. Yang teruji ialah kesediaan pemimpin untuk memikul akibat keputusan bersama apabila keputusan itu tidak lagi menguntungkan di pentas kempen.
Kestabilan untuk melakukan apa?
Melaka juga menyusuli Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Dalam keempat-empat PRN itu, PH gagal muncul sebagai gabungan dengan kerusi terbanyak. Sebabnya berbeza mengikut negeri.
Malah di Negeri Sembilan, PH memperoleh bahagian undi terbesar walaupun BN memenangi lebih banyak kerusi.
Namun, setiap kali keputusan negeri dibaca sebagai ukuran kekuatan parti di Putrajaya, rakyat sekali lagi diminta mentafsir mandat Persekutuan melalui pilihan raya yang tidak mempertandingkan satu pun kerusi Parlimen.
Jika pembubaran mahu dihujahkan, asasnya mesti lebih kukuh daripada kemenangan atau kekalahan dalam PRN: apakah kerajaan masih mempunyai kesepakatan untuk melaksanakan mandat bersama?
Kestabilan politik ialah alasan paling kukuh untuk menghabiskan penggal. Belanjawan perlu dilaksanakan. Langkah menangani kos sara hidup memerlukan masa sebelum kesannya dirasai.
Pilihan raya awal juga menelan belanja dan boleh menghasilkan satu lagi Parlimen tergantung. Sebab itu, kemenangan BN atau kekalahan PH di Melaka sahaja tidak memadai untuk mewajarkan pembubaran. Ukurannya mesti tetap sama sekalipun keputusannya memihak kepada parti yang lain.
Akan tetapi, mereka yang mahu menunggu setahun lagi juga perlu memberikan alasan yang dapat diuji.
Apakah keputusan penting yang hanya dapat diselesaikan dengan tambahan masa itu? Apakah yang telah dipersetujui oleh parti-parti kerajaan untuk melaksanakannya? Siapa yang akan menjawab kepada rakyat jika pelaksanaannya gagal?
Kalau perkara ini dapat dinyatakan dengan jelas, rakyat boleh menilai manfaat menghabiskan penggal. Menyebut perkataan kestabilan sahaja tidak menjawab satu pun soalan tersebut.
Tahun terakhir membawa tekanan yang mudah dijangka. Semakin dekat PRU, semakin besar dorongan untuk mendahului sekutu sendiri dalam menuntut pujian dan mengelak keputusan yang boleh mengorbankan undi.
Jika selepas hampir empat tahun, perbezaan dalam kerajaan semakin berguna sebagai modal kempen, mengapa kita menjangka tambahan setahun akan memulihkan perpaduan?
Apa yang menghalang tempoh itu daripada menjadi kempen pilihan raya yang lebih panjang, dengan pertikaian yang lebih tajam dan keputusan penting yang terus tertangguh?
Pada hemat saya, timbul persoalan berkaitan demokrasi yang benar-benar sihat. Adakah sudah tiba masanya perdana menteri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen lebih awal?
Soal siapa pengganti ialah tanggungjawab parti untuk menyediakan pilihan. Sebelum mengundi, rakyat berhak tahu dengan siapa setiap parti mahu mentadbir, dasar apa yang sanggup dilaksanakan dan siapa yang akan memikul akibatnya.
Melaka telah memilih kerajaan negerinya. Jika yang dipertikaikan ialah hala tuju kerajaan Persekutuan, wajarkah persoalan itu dibawa kepada seluruh rakyat melalui pilihan raya umum?
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.