Pakar gesa tumpuan pada pengajaran, pembelajaran dalam peruntukan KPM RM69 bilion

Pakar menyambut baik peruntukan RM2 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan sekolah, namun menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan sebahagian besar daripada peruntukan RM69 bilionnya untuk memperkukuh pengajaran dan pembelajaran.
Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, mengalu-alukan peningkatan dua kali ganda peruntukan penyelenggaraan sekolah berbanding tahun lalu, tetapi mengingatkan bahawa infrastruktur fizikal sahaja tidak akan menyelesaikan masalah lebih mendalam dihadapi sekolah di Malaysia.
“Usaha membaiki sekolah memerlukan kita melihat lebih daripada sekadar bangunan dan kemudahan fizikal,” katanya kepada FMT.
“Dengan melabur dalam pengajaran yang lebih baik, mengesan jurang pembelajaran lebih awal dan membantu murid yang ketinggalan mencapai kejayaan akademik yang bermakna, Malaysia boleh menangani dua krisis serentak: menamatkan tragedi di sekolah dan membentuk generasi yang berkebolehan serta berfungsi dengan baik.”

Azimah berpendapat kurangnya penglibatan murid dalam pembelajaran merupakan faktor utama yang menyumbang kepada masalah di sekolah. Katanya, murid yang menghadapi kesukaran menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira berisiko berasa kecewa, terasing dan tersisih.
“Peruntukan dalam belanjawan ini perlu diperluas secara dinamik untuk menyokong pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah bagi menangani secara langsung masalah murid yang tidak berminat untuk belajar, yang menjadi punca utama peningkatan keganasan, pembunuhan dan bunuh diri di sekolah,” katanya.
Azimah turut menggesa penetapan sasaran perbelanjaan yang lebih jelas, pelaporan telus dan hasil yang boleh diukur, sambil berkata ibu bapa mahu peruntukan tambahan itu menghasilkan penambahbaikan yang nyata.
Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, turut menggesa supaya kualiti pengajaran diberikan perhatian lebih besar sambil berkata kerajaan perlu mengutamakan latihan semula guru bagi memenuhi keperluan bilik darjah yang berubah.
“Jika kita mahu meningkatkan kualiti pendidikan, pembelajaran murid mesti diberikan keutamaan,” katanya.
Anuar berkata guru yang telah berkhidmat selama 20 hingga 30 tahun perlu diberikan peluang untuk mengemas kini kaedah pengajaran mereka, khususnya dengan penggunaan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.
“Guru masih mengajar menggunakan kaedah lapuk. Murid menjadi bosan dan akhirnya kualiti pembelajaran merosot,” katanya.
Menerusi belanjawan diumumkan semalam, peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembaikan sekolah digandakan kepada RM2 bilion, manakala hampir RM1.3 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Belanjawan itu turut memperuntukkan pembinaan sebuah kolej matrikulasi baharu di Marang, Terengganu, selain meningkatkan Bantuan Awal Persekolahan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid.
Selain itu, RM870 juta diperuntukkan bagi Program Makanan Tambahan yang disasarkan memberi manfaat kepada 800 murid.
Inisiatif lain yang diumumkan termasuk kenaikan RM50 bagi Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas dan Insentif Pengajaran Pendidikan Khas.
Kira-kira RM445 juta turut diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) bagi pembinaan prasekolah di Gua Musang, Kelantan, serta sebuah asrama untuk kanak-kanak Orang Asli di Kinta, Perak, bagi menempatkan murid yang tinggal jauh dari sekolah.
Penambahbaikan di lapangan diperlukan
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin, menyifatkan peruntukan pendidikan tahun ini — meningkat daripada RM66.2 bilion pada 2026 — sebagai ‘menggalakkan’, tetapi mengingatkan bahawa peruntukan itu mesti diterjemahkan kepada penambahbaikan di lapangan.

“Peningkatan belanjawan pendidikan memang dialu-alukan, tetapi kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan semata-mata,” katanya.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata peruntukan penyelenggaraan perlu meliputi kira-kira 10,200 sekolah, selain institut pendidikan guru, kolej vokasional dan kemudahan pendidikan lain.
Beliau menggesa kementerian mengutamakan perbelanjaan berdasarkan tahap keperluan mendesak, risiko keselamatan dan keperluan setiap institusi bagi memastikan dana diagihkan secara adil dan berkesan.
“Walaupun keselamatan sekolah kini menjadi kebimbangan utama, kementerian perlu mengenal pasti penyelesaian berkesan untuk jangka panjang bagi mencegah kejadian berulang.
“Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) merupakan antara langkah yang boleh membantu membolehkan tindakan awal diambil, tetapi ia perlu dilengkapi langkah pencegahan lain,” kata Fouzi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.