Beri insentif kepada syarikat solar untuk kurang kos, kata Akmal

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mencadangkan kerajaan memberikan insentif kepada syarikat solar bagi meluaskan perkhidmatan pemasangan, sekali gus menurunkan kos demi menjadikan tenaga boleh baharu itu pilihan mampu dicapai rakyat.
Akmal berkata, kerajaan sepatutnya membantu lebih banyak isi rumah beralih kepada tenaga solar supaya mereka dapat mengurangkan bil elektrik secara berterusan.
Beliau berkata, persaingan lebih sengit dalam kalangan pembekal solar akan membantu menurunkan kos pemasangan, justeru memudahkan lebih banyak isi rumah menggunakannya.
“Persaingan yang sihat dapat membantu menurunkan harga dan menjadikan pemasangan solar lebih mampu milik,” katanya.
Akmal, yang juga Adun Merlimau, berkata sekiranya kerajaan terus bergantung kepada bantuan untuk menampung kos penjanaan elektrik yang lebih tinggi, beban kewangan negara boleh meningkat apabila harga bahan api naik.
Katanya, pelaburan membantu rakyat beralih kepada tenaga solar boleh mengurangkan kebergantungan isi rumah terhadap bekalan elektrik daripada grid bagi jangka panjang.
Akmal mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, bahawa beberapa kementerian akan bertemu dengan Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Bhd bagi membincangkan langkah mengurangkan impak kenaikan bil elektrik di tengah-tengah fenomena jerebu dan cuaca panas.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata jerebu dan cuaca panas baru-baru ini menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sesetengah isi rumah.
Beliau berkata, ini menyebabkan penggunaan bulanan mereka melebihi ambang 600kWh, sekali gus mereka terdedah kepada mekanisme pelarasan kos bahan api secara automatik (Afa).
Dua kementerian yang terlibat mesyuarat dijadualkan hari ini ialah Kementerian Kewangan serta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Awal tahun ini, kerajaan memperkenalkan inisiatif ‘Sustainable Rebate and Incentive Assistance’ (SuRIA Home), menawarkan rebat tunai sehingga RM3,000 kepada isi rumah bagi pemasangan sistem kuasa solar di bumbung kediaman.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.