MB N Sembilan tolak lantik exco baharu

Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim menolak pelantikan exco baharu kerana menunggu keputusan mahkamah berkait kesahihan pembatalan pelantikan 10 exco berkenaan.
“Buat masa ini, kita sudah membawa perkara itu ke mahkamah, jadi kita tunggu proses mahkamah.
“Mungkin ada perbincangan, tetapi saya tidak pasti. Kita lihat bagaimana keadaan seterusnya,” katanya menurut Utusan Malaysia, di Seremban.
Pada 5 Okt, 10 exco tersebut terdiri wakil Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mahu mahkamah mengisytiharkan pembatalan pelantikan mereka terbatal, tidak sah, dan tidak berkuat kuasa.
Mereka memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban terhadap setiausaha kerajaan negeri (SUK) dan kerajaan negeri, selain memohon persoalan Perlembagaan berhubung kuasa membatalkan pelantikan exco berkenaan diputuskan mahkamah.
Pada 21 Sept lalu, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Azizi Mohamad Ali mengumumkan bahawa Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan ahli-ahli exco, selepas mendapati mereka telah memungkiri sumpah jawatan.
Dalam pada itu, Ismail berkata tumpuannya kini adalah memastikan belanjawan Negeri Sembilan 2027 dapat dibentang pada 27 Nov ini, malah menafikan khabar angin akan meletak jawatan mengambil kira sokongan penuh Adun kerajaan.
“Belanjawan ini penting. Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama menjelang sidang DUN supaya kita dapat membentangkan dan meluluskannya dengan jayanya.”
Katanya, persiapan belanjawan sudah berada di peringkat akhir dengan kerjasama penjawat awam negeri khususnya ketua jabatan.
Beliau berkata, barisan pentadbiran negeri akan mengadakan satu lagi pertemuan untuk memuktamadkan belanjawan berkenaan.
“Kami sudah mempunyai peruntukan yang mencukupi dan kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk meneruskannya,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.