Anwar seru BRICS bertindak terhadap ketakadilan amalan dagang global

BRICS perlu mengambil tindakan konkrit terhadap amalan perdagangan global yang tidak adil, selain memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara membangun dalam bidang teknologi, pembiayaan, dan pembangunan ekonomi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Sidang Kemuncak BRICS Ke-18, Anwar berkata, BRICS menawarkan kelebihan ekonomi signifikan menerusi gabungan kekuatan pasaran besarnya, sekali gus membuka peluang kepada kepelbagaian perdagangan.
Beliau berkata, lebih penting BRICS membuka ruang kritikal bagi kepelbagaian perdagangan, membolehkan ekonomi negara ahli
mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional Barat.
“Kita perlu bertindak bersama menerusi langkah konkrit menghapuskan amalan perdagangan tidak adil.
“Kita (juga) perlu berkongsi kepakaran dan meluaskan kerjasama teknikal, termasuk latihan dalam bidang baharu seperti semikonduktor dan AI,” katanya.
Beliau berkata, pembiayaan untuk negara membangun mestilah mampan serta bersesuaian dengan tujuan, sambil memberi peringatan bahawa kerajaan negara tidak sepatutnya dipaksa memilih antara melunaskan hutang atau memenuhi keperluan asas rakyat mereka.
Anwar berkata, modal komersial memainkan peranan penting sekiranya diguna pakai mengikut terma yang kukuh dan mampan, sambil menekankan potensi Bank Pembangunan Baharu, mekanisme penyelesaian mata wang tempatan, serta pasaran modal Islam.
Beliau turut menyeru BRICS mengiktiraf setiap negara akan mengambil pendekatan berbeza dalam transisi hijau berdasarkan keadaan semasa dan peringkat pembangunan masing-masing.
Anwar turut menghubungkan kemakmuran ekonomi dengan kestabilan geopolitik, sambil menegaskan konflik seperti sedang berlaku di Asia Barat ketika ini mampu membawa kesan merentasi negara yang terlibat secara langsung.
Katanya, peperangan telah melonjakkan kenaikan harga tenaga dan mengancam laluan perkapalan yang menjadi kebergantungan ekonomi, di mana negara tidak terlibat dalam konflik turut berdepan kadar inflasi lebih tinggi serta ketidaktentuan.
Beliau menegaskan, negara yang mempunyai kapasiti terbesar untuk mempengaruhi keadaan memikul tanggungjawab khusus bagi mengelak pertikaian daripada terus berlanjutan.
Perdana menteri berada di New Delhi bagi menghadiri Sidang Kemuncak BRICS, di mana Malaysia mengambil bahagian sebagai negara rakan.
Anwar berkata, Malaysia berharap dapat menyumbang kepada BRICS atas semangat autonomi strategik, yang digambarkannya sebagai kebebasan menentukan hala tuju sendiri dan keberanian mempertahankan pilihan itu.
BRICS, yang asalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan, berkembang menjadi gabungan ekonomi pesat membangun yang lebih luas, serta memperjuangkan kerjasama ekonomi lebih erat dalam kalangan negara membangun.
Blok yang dianggotai 10 negara berkenaan mewakili hampir separuh daripada populasi dunia dan sekitar 40% daripada jumlah keluaran ekonomi global berasaskan kuasa beli.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.