Peningkatan peruntukan bukan penyelesaian tuntas masalah perkhidmatan kereta api, kata pakar

Peruntukan belanjawan sebanyak RM3.4 bilion bagi pemodenan perkhidmatan kereta api perlu disusuli pelaksanaan yang mantap dan penyelenggaraan berkala, kata seorang perunding pengangkutan.
Pengarah eksekutif MY Mobility Vision, Rahman Hussin berkata perbelanjaan modal mesti disertai disiplin operasi untuk menghasilkan keputusan sebenar.
“Kita mesti mengakui bahawa pembelian tren baharu dan menaik taraf infrastruktur tidak secara automatik menyelesaikan setiap masalah kebolehpercayaan perkhidmatan. Kejayaan bergantung pada sejauh mana pelaburan ini dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada FMT.
Peruntukan belanjawan itu menyediakan dana bagi kerja-kerja baik pulih sistem rel Prasarana Malaysia Bhd dan perolehan 42 set tren baharu untuk Keretapi Tanah Melayau Berhad (KTMB).
Rahman berkata KTMB memerlukan kapasiti landasan, sistem isyarat dan kemudahan penyelenggaraan yang mencukupi bagi memastikan set tren baharu itu berfungsi dengan baik.
Beliau berkata projek landasan berkembar Lembah Klang membuktikan bahawa infrastruktur landasan sama pentingnya dengan usaha menambah bilangan tren.
Tambahnya, mewujudkan budaya penyelenggaraan yang sebenar dalam kalangan pengendali pengangkutan memerlukan perubahan sistemik yang merangkumi keputusan pengurusan, perancangan perolehan, keupayaan teknikal dan akauntabiliti organisasi.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan Prasarana dan KTMB supaya mengambil tindakan segera terhadap masalah gangguan perkhidmatan.
Anwar turut berkata kerajaan akan meneruskan pas perjalanan My50 untuk 300,000 pengguna perkhidmatan bas dan rel Prasarana di Lembah Klang, selain memperkenalkan MyKomuter50 yang akan memanfaatkan 40,000 pengguna KTM Komuter, dengan purata penjimatan bulanan sehingga RM160.
Rahman berkata pas perjalanan itu dapat membantu mengurangkan perbelanjaan pengangkutan isi rumah dan menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam. Namun, katanya, Putrajaya perlu menyokongnya dengan pembiayaan yang konsisten.
“Kita harus mempertimbangkan aturan pembiayaan berbilang tahun yang lebih terjamin, disokong oleh keperluan prestasi perkhidmatan yang jelas.
“Menjadikan pengangkutan awam mampu milik adalah penting, tetapi kemampuan dari segi kos sahaja tidak akan menyakinkan orang ramai untuk meninggalkan kereta mereka. Mereka juga memerlukan perkhidmatan yang kerap, boleh dipercayai dan selesa,” katanya.

Felo Akademi Sains Malaysia, Ahmad Farhan Sadullah melihat pelaburan dalam Prasarana dan KTMB sebagai perubahan berorientasikan masa depan yang telah lama tertangguh, beralih daripada pendekatan yang hanya bertindak balas apabila timbulnya masalah.
Bagaimanapun, katanya, Putrajaya perlu memberikan penjelasan teknikal yang lengkap tentang cara Prasarana merancang untuk melaksanakan pemulihan asetnya.
“Prasarana perlu mengoptimumkan penggunaan tren baharu bagi memaksimumkan jumlah pengguna, sambil memastikan tahap perkhidmatan yang memuaskan. Butiran mengenai kerja-kerja baik pulih perkhidmatan rel diperlukan.
“Perolehan penting bagi menaik taraf, membaiki atau membaik pulih sistem sedia ada perlu disertakan, khususnya untuk menggantikan sistem usang di laluan Kelana Jaya, Ampang dan Monorel,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.