Padang Rengas kerusi Bersatu bukan Wawasan, Nazri sedia lawan Azahari

Nazri Aziz menolak alasan Wawasan mahu mempertahankan Padang Rengas berdasarkan prinsip penyandang, sambil menegaskan kerusi itu dimenangi Bersatu pada PRU15, bukannya parti berkenaan.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, prinsip penyandang dalam rundingan pembahagian kerusi sepatutnya merujuk kepada parti yang memenangi pilihan raya terdahulu, bukan individu yang kemudian bertukar parti.
“Penyandang itu merujuk kepada parti, bukannya individu. Apabila kita berunding mengenai pembahagian kerusi, kita melihat parti memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya sebelumnya.
“Di Padang Rengas, parti yang menang pada PRU15 ialah Bersatu, bukannya Wawasan,” katanya dalam temu bual FMT.
Bekas Ahli Parlimen Padang Rengas menekankan, Wawasan tidak boleh menganggap kerusi berkenaan sebagai haknya semata-mata kerana penyandang, Azahari Hasan, kini menyertai parti komponen PN itu.
Menurutnya, kerusi Padang Rengas diwujudkan pada 1974 merupakan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) sebelum dimenangi calon Bersatu atas tiket PN pada PRU15.
Beliau berkata, PAS tidak bertanding di kawasan berkenaan pada pilihan raya lalu manakala BN menduduki tempat kedua, justeru Umno wajar diberi keutamaan jika kerjasama pilihan raya dengan PAS diteruskan pada PRU16.
“Jadi, kalau kita bekerjasama dengan PAS pada PRU16, sudah tentulah BN yang patut bertanding di Padang Rengas,” katanya.
Pada 13 Nov lalu, Azahari bertegas tidak akan menyerahkan Padang Rengas kepada BN dan mahu mempertahankannya atas tiket PN pada PRU16 berdasarkan prinsip penyandang, mengulas hasrat Nazri kembali ke kerusi itu.
Azahari yang menyertai Wawasan selepas dipecat Bersatu pada Februari lalu berkata, keputusan akhir mengenai pembahagian kerusi perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan gabungan, selain tidak menolak kemungkinan pertukaran kerusi menerusi rundingan.
Pada PRU15, Azahari menewaskan calon BN Arrif Majid dengan majoriti 3,046 undi.
Pertikaian itu turut mencetuskan persoalan mengenai rundingan kerusi BN-PN pada PRU16, susulan kerjasama kedua-dua gabungan dalam PRN Negeri Sembilan dan Melaka.
Nazri yang mahu kembali bertanding di Padang Rengas atas tiket BN berkata, beliau mempunyai ramai kenalan dalam PAS dan yakin persefahaman mengenai kerusi berkenaan dapat dicapai jika kedua-dua parti bekerjasama.
“Kalau Azahari mahu bertanding, bertandinglah. Itu hak dia. Kalau mahu bertanding atas tiket Wawasan, silakan. Saya tidak ada masalah untuk berlawan dengannya.
“Tetapi janganlah beliau beranggapan kerana Wawasan sekarang berada dalam PN, kerusi Padang Rengas secara automatik menjadi hak mereka,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.