Pemaju diarah bayar RM10.5 juta kepada pemilik kondominium mewah

Mahkamah Tinggi memerintahkan syarikat pemaju China membayar pampasan sekitar RM10.57 juta kepada 84 pemilik unit kondominium mewah Princess Cove berikutan kelewatan penyerahan kediaman mereka.
Hakim Wong Mee Ling membenarkan tuntutan pampasan oleh pemilik unit berkenaan selepas memutuskan pindaan pada perjanjian jual beli (SPA) dibuat pemaju, R&F Development Sdn Bhd, tanpa kebenaran pembeli adalah tidak sah.
Katanya, pindaan tersebut yang membahagikan projek itu daripada satu fasa kepada dua fasa melanggar syarat perjanjian, selain turut menolak hujah pemaju bahawa kelewatan terbabit munasabah atas alasan perlu meminda pelan bangunan projek.
Pemilik unit tersebut memfailkan saman pada 2018 atas kelewatan penyerahan unit mereka serta kemudahan bersama yang belum siap semasa unit kediaman diserahkan.
Setiap pemilik diberikan pampasan antara RM35,000 hingga RM196,000 bagi kelewatan penyerahan unit, dan menerima jumlah tambahan antara RM6,900 hingga RM39,000 bagi kelewatan penyiapan kemudahan bersama.
Namun, mahkamah menolak kes dibawa 39 lagi plaintif yang telah menandatangani SPA selepas pelan bangunan dipinda. Wong memerintahkan agar mereka membayar kos RM10,000 setiap seorang kepada R&F.
Hakim turut memerintahkan pemulangan semula caj penyelenggaraan yang telah dibayar 84 pemilik unit itu sebelum tarikh siap pada November 2018 sepertimana ditetapkan dalam SPA.
Wong turut menolak tuntutan plaintif untuk ganti rugi teladan dan ganti rugi khas, sambil menyatakan tiada bukti mereka mengalami sebarang kerugian.
Pemilik unit tersebut sebelum ini telah memperoleh penghakiman terus terhadap pemaju tersebut, pada 2021.
Bagaimanapun, kes tersebut telah terus dibawa ke perbicaraan selama 10 hari yang berakhir pada September 2024, selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pemaju.
Pemilik unit diwakili oleh NG Vinod dan Rashmeet Kaur, manakala Josiah Tea Yoong Kit dan V Mavin Rajah bertindak bagi pihak defendan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.