Keluarga 3 lelaki maut tembakan di Durian Tunggal akan saman kerajaan, polis

Keluarga tiga lelaki yang maut dalam satu tembakan di Durian Tunggal, Melaka, tahun lalu akan memulakan tindakan sivil terhadap kerajaan dan polis atas kegagalan mendakwa pihak bertanggungjawab.
Peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh yang mewakili keluarga mangsa, mengulangi kritikan mereka terhadap inkues ke atas kematian G Logeswaran, T Poovaneswaran dan M Puspanathan, yang disifatkan tidak memadai.
Menurut mereka, walaupun inkues dapat menentukan bagaimana dan bila seseorang itu meninggal dunia, ia “tidak menentukan siapa bersalah dan tidak boleh mendakwa sesiapa pun”.
Mereka berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) sebenarnya mempunyai bukti mencukupi untuk melakukan pendakwaan.
“AGC mempunyai rakaman audio dan dapatan bedah siasat. Walaupun memiliki semua bukti itu, AGC tetap gagal mendakwa pihak bertanggungjawab atas kematian ini.
“Kami menolak sekeras-kerasnya inkues ini sebagai pengganti proses jenayah. Jika pihak berkuasa tidak mahu mengambil tindakan untuk pegawai ini dipertanggungjawabkan, maka keluarga mangsa akan lakukannya,” kata mereka dalam kenyataan.
Pada 24 Nov 2025, tiga lelaki itu ditembak mati polis Melaka, yang mendakwa mereka penjenayah samun bersiri dan menyerang seorang anggota polis menggunakan parang.
Polis Melaka pada mulanya menyiasat kejadian itu sebagai cubaan bunuh. Tetapi, peguam keluarga mangsa mendakwa rakaman audio dan bukti forensik menunjukkan tiga lelaki terbabit dibunuh dengan cara seperti ‘hukuman mati’.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh. Pada 7 Dis, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dilaporkan berkata, polis telah menerima satu rakaman audio dipercayai mengandungi perbualan telefon seorang mangsa dengan isterinya sebelum kejadian.
Pada 16 Dis, AGC mengarahkan kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
AGC kemudian mengarahkan inkues diadakan bagi menentukan punca dan keadaan kematian mangsa, serta meneliti fakta berkaitan kejadian itu, termasuk sama ada terdapat sebarang kesalahan jenayah telah dilakukan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.