Anwar hubungi KPN mahu siasatan kematian Noorizwan telus, menyeluruh

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghubungi Ketua Polis Negara Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kematian Noorizwan Zulkefly dalam tahanan awal bulan ini, sambil menegaskan siasatan perlu dijalankan menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Anwar turut menegaskan perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga mangsa.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum kehadiran keluarga Noorizwan untuk menyerahkan surat rayuan kepadanya hari ini.
“Saya mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly untuk menyerahkan surat rayuan kepada saya hari ini, dan amat berdukacita atas pemergian Allahyarham serta memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang menantikan jawapan.
“Saya dijadualkan menghadiri beberapa rencana di Melaka hari ini dan telah mewakilkan pegawai saya untuk menerima surat tersebut serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, keluarga Noorizwan bersama peguam hadir ke kediaman perdana menteri bagi menyerahkan memorandum dan menggesa campur tangan kerajaan berhubung kematian mangsa ketika dalam tahanan di IPD Cheras.
Noorizwan ditangkap pada 20 Sept lalu dan ditahan di IPD Cheras selama 11 hari tanpa pengetahuan keluarganya sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 30 Sept.
Dia disahkan meninggal dunia pada 1 Okt.
Keluarganya menolak dakwaan ketua polis Kuala Lumpur bahawa tangkapan dan penahanan dijalankan mengikut SOP.
Pada 12 Okt, seorang pakar patologi forensik kanan di hospital berkenaan dilaporkan mengesahkan kepada keluarga dan pasukan peguam mereka punca kematian Noorizwan disebabkan trauma daya tumpul pada bahagian kepala.
Hari ini, Bukit Aman memaklumkan berdasarkan hasil bedah siasat dijalankan mendapati tiada sebarang kecederaan organ dalaman, namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran.
“Punca kematian telah dinyatakan sebagai menunggu keputusan analisis makmal,” kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Aida Abdul Hamid dalam kenyataan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.