Wan Saiful gesa kedudukan exco Bersatu di 3 negeri pimpinan PAS dikaji semula

Seorang pemimpin Parti Wawasan Negara (Wawasan) menggesa kedudukan wakil rakyat Bersatu yang dilantik sebagai exco di Kelantan, Terengganu dan Kedah dikaji semula susulan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Wan Saiful Wan Jan berkata perkara itu wajar dipertimbangkan selepas aduan Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membawa kepada siasatan terhadap gabungan berkenaan.
“Kita tidak mahu sumber dan amanah kerajaan negeri dipergunakan oleh mereka untuk menikam kita dari dalam seperti yang dilakukan oleh Bersatu dalam PN.
“Jangan sampai kita memberi ruang kepada pihak yang akhirnya melemahkan perjuangan kita dan merugikan kita,” katanya berucap dalam ceramah di Pengkalan Chepa, Kelantan, semalam.
Wan Saiful memuat naik video ucapan iu di Facebook.
Bagaimanapun, Wan Saiful berkata keputusan mengenai kedudukan exco Bersatu terletak pada kebijaksanaan PAS yang menerajui ketiga-tiga negeri berkenaan.
“Kita kena berhati-hati dan belajar daripada pengalaman ini,” katanya.
Semalam, JPPM membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Siasatan terhadap PN dibuat susulan aduan Bersatu yang mendakwa parti itu dinafikan hak untuk menghadiri mesyuarat, memberikan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata gabungan itu akan mencabar keputusan berkenaan di mahkamah dan memohon penangguhan pelaksanaan serta kesannya sementara menunggu keputusan kes.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.