Bapa 5 anak dijel 6 bulan curi susu bayi

Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang bapa kepada lima anak yang mengaku bersalah mencuri barangan bernilai RM394 di sebuah pasar raya.
Wan Eskandar Wan Julihi, 43, didapati mencuri 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman ringan, makanan ringan dan pembuka tin dari Pasaraya PKT Pasir Tumboh pada 11 Okt lalu.
Majistret R Vinoshen dalam alasan penghakiman berkata, kesempitan hidup dan tanggungjawab keluarga yang ditanggung tertuduh tidak secara automatik membolehkan hukuman lebih ringan diberikan.
Beliau turut memetik peribahasa Tamil purba yang membawa maksud seseorang tidak patut melakukan perbuatan salah atau tidak bermoral, walaupun ibunya kelaparan.
“Walaupun melihat ibu sendiri kelaparan, seseorang tidak sepatutnya melakukan perbuatan tidak bermoral atau memalukan sehingga mengundang kecaman golongan bijaksana,” katanya menurut Harian Metro yang memetik peribahasa itu daripada Tirukkural, karya sastera Tamil purba yang ditulis ahli falsafah, Tiruvalluvar.
Beliau berkata, mahkamah mengambil kira keadaan Wan Eskandar, tetapi kepentingan awam dan keperluan memberi pengajaran bagi mengelakkan tertuduh tidak mengulangi kesalahan perlu dipertimbangkan.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad, berkata anak guamnya tidak bekerja dan baru dibebaskan dari penjara.
Jelasnya, Wan Eskandar mempunyai lima anak untuk ditanggung, membayar sewa rumah RM300 sebulan serta menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan psoriasis.
Menurutnya, tertuduh menyesali perbuatannya dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan.
Namun, majistret berkata, tertuduh bukan pesalah kali pertama kerana pernah disabitkan kesalahan menipu di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.
“Dalam keadaan sedemikian, adalah wajar mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan supaya tertuduh insaf dan tidak mengulangi perbuatannya,” katanya yang mengingatkan orang ramai, walaupun hanya mencuri sebuku roti tetap menjadi kesalahan boleh dihukum penjara mengikut Kanun Keseksaan.
Tegasnya, pengakuan bersalah tertuduh antara faktor boleh meringankan hukuman kerana menjimatkan masa dan kos mahkamah, tetapi ia tidak bermakna tertuduh berhak mendapat pengurangan hukuman secara automatik.
Katanya, keputusan mahkamah terdahulu bagi kesalahan mencuri di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan lazimnya satu hingga tiga tahun hukuman penjara.
“Bagaimanapun, dalam kes ini, selepas mengambil kira faktor mitigasi tertuduh dan fakta kes, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara hanya enam bulan, iaitu lebih ringan berbanding trend hukuman sedia ada bagi kesalahan seumpama itu.
“Hukuman yang dijatuhkan juga setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.