Najib belum terima surat rasmi tahanan rumah, kata peguam

Peguam Najib Razak berkata mereka masih belum menerima surat rasmi mengenai pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Shafee Abdullah berkata sudah seminggu sejak Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat itu, namun Najib dan juga Jabatan Penjara masih belum menerima surat rasmi berkenaan perkara itu.
“Kita tak tahu, kenapa surat itu begitu lambat, penjara pun tidak dapat. Ini pelik.
“Kelewatan ini menjejaskan tindakan seterusnya pasukan guaman kerana kami tidak mengetahui syarat penuh yang terkandung dalam dokumen rasmi berkenaan,” katanya kepada wartawan selepas pengurusan kes 1MDB Najib hari ini.
Ketika ditanya sama ada Najib boleh menjelaskan denda RM50 juta itu hari ini, seperti yang dikehendaki di bawah terma pengampunan bersyarat tersebut, Shafee berkata anak guamnya ‘tidak mampu bayar’.
“Banyak sindir saya berkait kenyataan ini dengan bertanya berbilion-bilion (akaun Najib) pergi mana?
“Sebenarnya dalam perbicaraan 1MDB telah didedahkan perkara ini. Najib menerima USD681 juta (didakwa) daripada keluarga diraja Arab Saudi pada 2013, tetapi memulangkan USD620 juta,” katanya.
Peguam itu turut berkata bahawa dalam saman sivil berkaitan 1MDB dan SRC International, dua saksi penyiasat penipuan disoal sama ada dana daripada syarikat-syarikat tersebut telah ‘kembali’ ke dalam akaun Najib.
“Wang itu tidak datang balik kepada (akaun) Najib,” kata Shafee.
Ketika ditanya di mana Najib akan menjalani tahanan rumah, Shafee berkata: “Ia sentiasa di Langgak Duta.”
Beliau menambah bahawa “ramai pemberita berkampung di luar rumah seolah-olah Najib berada di situ”.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.