Anwar dijangka umum bayaran interim Sarawak pada Hari Malaysia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman berhubung pembayaran interim kepada Sarawak pada 16 Sept ini sempena sambutan Hari Malaysia.
Anwar berkata beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Premier Sarawak Abang Johari Openg dalam beberapa hari akan datang berhubung bayaran interim itu.
Menurutnya, perbincangan akan memperhalusi bayaran itu dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan pendekatan lebih sesuai untuk Sarawak.
“Oleh itu, saya akan terus bincang dalam beberapa hari ini dengan Premier (Sarawak).
“Mudah-mudahan sebaik hari 16 Sept, Hari Malaysia di Kuching, saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) 2026 di Kota Kinabalu, lapor Bernama.
Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Sarawak turut mengemukakan pandangan supaya satu formula lebih jelas diperkenalkan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, kemampuan semasa serta kadar minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.
“Saya setuju dan telah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan Sarawak untuk bincangkan tentang memperkenalkan formula,” katanya.
Mengulas mengenai bayaran interim untuk Sabah, Anwar berkata kerajaan telah bersetuju menaikkan bayaran interim kepada RM1.5 bilion bagi negeri itu mulai tahun ini sementara rundingan mengenai perkara berkenaan diteruskan.
Beliau berkata jumlah itu dijangka dapat disalurkan pada akhir Oktober atau awal November selepas persidangan Parlimen pada Oktober.
Pada 30 Mei lepas, perdana menteri dilaporkan berkata geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion daripada RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40% hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam MA63.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.