Individu, syarikat dikait rampasan 1.16 tan ketamin dalam kapal dikenalpasti

Polis mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang dipercayai ada kaitan dengan rampasan 1.16 tan ketamin daripada sebuah kapal tangki di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara, Indonesia pada Selasa.
Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata polis sedang mengesan individu yang terlibat dan akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat, lapor Harian Metro.
“Kita akan menjalankan tangkapan secepat mungkin. Kemungkinan pada hari ini ataupun esok. Kita perlu membuat siasatan secara terperinci supaya tindakan kita selaras dengan kehendak undang-undang.
“Individu-individu terbabit polis sudah kenal pasti. Ketika ini, kami sedang cuba mengesan di mana kedudukan mereka. Ini termasuk syarikat-syarikat berkaitan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Khalid berkata kapal berkenaan belayar dari Johor ke Pelabuhan Klang sebelum menuju ke Laut Andaman yang dipercayai menjadi lokasi berlakunya pemindahan dadah berkenaan secara kapal ke kapal.
“Kita akan berusaha dan mengadakan kolaborasi berterusan dengan pihak Indonesia bagi memastikan mereka yang terbabit akan kita ambil tindakan dari sudut undang-undang,” katanya.
Kapal tangki sepanjang 57m yang dikenal pasti menggunakan nama transponder Global 168, nombor IMO 9078347 dan nombor MMSI 457615000, belayar di bawah bendera Mongolia.
Sistem pengenalan automatik kapal itu dipercayai dimatikan selama tiga hari, manakala pergerakannya dianggap mencurigakan.
Kapal itu ditahan selepas pihak berkuasa Indonesia menemukan 1,160 bungkusan ketamin seberat keseluruhan 1.16 tan yang disembunyikan di dalam 58 guni.
Lapan anak kapal ditahan, terdiri daripada tujuh warga Indonesia berusia antara 25 hingga 71 tahun dan seorang warga China berusia 42 tahun.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.