Awang Tengah calon potensi ganti Abang Jo sebagai premier Sarawak

Timbalan Premier Sarawak Awang Tengah Ali Hassan dilihat pengganti berpotensi sebagai premier Sarawak selepas Abang Johari Openg, kata seorang penganalisis politik.
Johari baru-baru ini memberi bayangan pada satu majlis Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bahawa beliau mungkin tidak lagi berkhidmat sebagai premier selepas PRN akan datang. Beliau menjadi premier sejak Januari 2017, apabila mengambil alih jawatan daripada Adenan Satem, yang meninggal dunia semasa ketika berkhidmat.
Penganalisis politik, Jayum Jawan daripada Akademi Sains Malaysia, berkata Awang Tengah merupakan timbalan presiden bagi sayap Bumiputera yang dominan dalam PBB. Tradisi parti menetapkan bekas timbalan presiden daripada sayap Bumiputera merupakan pengganti secara semula jadi bagi jawatan presiden parti, katanya.
“Jika tradisi parti ingin diikuti, calon utama semestinya Awang Tengah,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi penganalisis, James Chin daripada Universiti Tasmania, berkata beberapa nama dibangkitkan untuk menggantikan Johari. Namun, Chin tidak mendedahkan nama-nama berkenaan kerana calon berkenaan boleh berubah dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang dijangka menggantikan Johari adalah Muslim, walaupun individu tersebut tidak semestinya daripada komuniti Melayu Sarawak atau Melanau dan boleh terdiri kumpulan etnik lain.
“(Ada) juga kriteria tidak bertulis bahawa sesiapa sahaja yang menggantikan Johari mestilah mempunyai sentimen pro-Sarawak yang sekurang-kurangnya sama kuat, atau lebih kuat daripada Abang Johari. Dalam kata lain, sentimen mengutamakan Sarawak cukup kuat di negeri itu, dan sesiapa yang tidak memainkan peranan terbabit tidak mempunyai peluang untuk sampai ke puncak,” katanya.
Peralihan kuasa tersusun
Jayum dan Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, menjangkakan peralihan kuasa tersusun Abang Johari kepada penggantinya, memandangkan disiplin dalaman PBB yang sudah lama bertapak.

Awang Azman berkata, perebutan jawatan tertinggi PBB sering diselesaikan secara konsensus dan tanpa pertandingan terbuka, seperti ditunjukkan pada pemilihan parti tahun lalu, di mana presiden, dua timbalan presiden, dan dua naib presiden kanan mengekalkan jawatan masing-masing tanpa bertanding.
“Ia sebahagian budaya politik PBB yang telah lama bertapak, setia kepada institusi parti, disiplin organisasi, perbincangan, dan mengelakkan konflik kepimpinan secara terbuka.
“Budaya itu berkembang sepanjang era Taib Mahmud, diteruskan pada zaman Adenan dan kini di bawah Abang Johari. Jadi, jika proses penggantian itu berlaku adalah lebih munasabah melihatnya sebagai proses mencari konsensus, berbanding persaingan terbuka,” tambahnya.
Belum ada calon premier Dayak
Chin dan Jayum menolak kemungkinan seorang ahli politik Dayak bukan Muslim menjadi premier seterusnya, sambil Chin berkata peluang tersebut tipis kerana seorang Muslim Melayu atau Melanau sentiasa dijangka memegang jawatan berkenaan.
Jayum berkata, tiada pemimpin tunggal Dayak berwibawa yang mampu memegang jawatan premier, dengan sebilangan tokoh terkemuka daripada sayap Pesaka dan menteri negeri sekadar menjadi ‘pemimpin kawasan’ yang terlalu fokus pada kawasan pilihan raya mereka sahaja.
Beliau berkata, pandangan sempit mereka membuatkan mereka tidak sesuai memimpin parti, yang kepimpinannya dijangka mewakili orang Melayu, Melanau, dan Dayak di dalam mahupun di luar PBB, termasuk komuniti Cina Sarawak.
“Sejarah menunjukkan bangsa Dayak memainkan peranan sekunder kepada kumpulan Melayu dan Melanau dalam PBB. Perkara ini tidak akan berubah kerana tiada seorang pun daripada mereka yang mampu ke jawatan tersebut. Paling terbaik yang boleh mereka harapkan ialah jawatan timbalan premier,” katanya.
Namun, Awang Azman berkata perkembangan politik semasa di Sarawak dewasa ini tidak lagi semudah ‘premier Dayak atau Melayu-Melanau’.
Katanya, kriteria utama ialah penerimaan dalam PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), keupayaan memenangi majoriti kerusi negeri, pengalaman pentadbiran, kebolehan mengekalkan autonomi dan kepentingan Sarawak, serta keupayaan memelihara keharmonian masyarakat berbilang etnik.
“Pengganti Abang Johari tidak sepatutnya dilihat sebagai persaingan etnik atau isu kaum. Jika kita mengikut kekananan dalam PBB, Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah memegang jawatan timbalan presiden, diikuti Fadillah Yusof dan Stephen Rundi sebagai naib presiden kanan.
“Namun, keputusan akhir sangat bergantung kepada konsensus dalaman PBB, perpaduan GPS, sokongan majoriti, dan sudah tentu, pandangan serta proses peralihan dibentuk Abang Johari sendiri,” kata Awang Azman.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.