Loke urus hal letak jawatan selepas pulang dari China

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook akan meneruskan program rasmi di China seperti dijadualkan mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan APEC ke-12 di Beijing.
Kementerian Pengangkutan berkata, program itu turut melibatkan beberapa pertemuan dua hala serta pemeteraian dua
memorandum persefahaman (MoU), termasuk MoU kerjasama pengangkutan antara Malaysia-China.
“Selepas menyelesaikan program rasmi di Beijing, YB Menteri dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan YAB perdana menteri sebelum kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara-perkara berkaitan proses peletakan jawatan beliau sebagai menteri pengangkutan,” katanya menurut kenyataan.
Kementerian berkata, pihaknya akan terus memastikan segala urusan dan tanggungjawab kementerian dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur.
Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan Apec dijadual berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Loke, yang juga setiausaha agung DAP pada Sabtu mengumumkan peletakan jawatan sebagai menteri susulan pengampunan bersyarat diberikan kepada bekas perdana menteri, Najib Razak.
Katanya, beliau memerlukan sedikit masa untuk menguruskan urusan kementerian yang masih tertunggak, sebelum melepaskan jawatan tersebut secara rasmi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan bertemu Loke untuk membincangkan peletakan jawatannya selepas lawatan mereka ke Shanghai.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.