Perbezaan dalaman sukarkan ‘khemah besar’ PH libatkan Bersatu, kata penganalisis

Cadangan Amanah menyegerakan pembentukan ‘khemah besar’ melibatkan Bersatu sukar tercapai selagi perbezaan dalaman Pakatan Harapan (PH) belum selesai dan DAP kekal menolak kerjasama itu, kata penganalisis.

Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata, Amanah perlu memahami bahawa pembentukan khemah besar bukan sekadar menggabungkan kekuatan parti tetapi memerlukan persetujuan bersama, keserasian politik serta keyakinan sesama rakan komponen.
“Keputusan PRN Melaka yang menyaksikan DAP memenangi semua empat kerusi PH memberikan kelebihan politik dan kedudukan tawar menawar yang lebih kuat kepada DAP.
“Sebaliknya kegagalan Amanah memenangi sebarang kerusi sedikit sebanyak mengehadkan pengaruhnya untuk mendesak perubahan pendirian rakan komponen,” katanya kepada FMT.
Katanya, atas sebab itu keutamaan PH ketika ini adalah menyelesaikan perbezaan dalaman terlebih dahulu sebelum memperluaskan kerjasama politik menjelang PRU16.
Tawfik berkata cadangan Amanah untuk mempercepatkan pembentukan khemah besar merupakan satu usaha mencari formula politik baharu selepas prestasi kurang memberangsangkan PH dalam PRN Melaka.
“Bagaimanapun, usaha ini sukar direalisasikan sekiranya DAP masih berpegang teguh kepada pendirian menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Amanah juga perlu mengemukakan justifikasi politik yang lebih meyakinkan, khususnya bagaimana kerjasama dengan Bersatu mampu memperluaskan sokongan pengundi Melayu tanpa menjejaskan sokongan tradisi PH,” katanya sambil menegaskan keputusan perlu dibuat secara konsensus.

Sementara itu, Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata PH perlu segera melakukan sesuatu untuk mendapatkan semula kepercayaan pengundi Melayu menjelang PRU16.
Katanya, masa depan calon Melayu PH pada PRU16 bagaikan telur di hujung tanduk susulan perpindahan undi yang tinggi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) seperti dibuktikan dalam PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Beliau berkata, DAP yang umumnya mengelak bertanding di kawasan majoriti Melayu perlu lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan sensitif atau perkauman yang boleh mengguris hati pengundi Melayu.
Jumaat lalu, Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil mengulangi pendirian kerjasama politik diperluas kepada parti di luar PH termasuk Bersatu, sambil menggesa penjajaran politik baharu berasaskan konsep khemah besar disegerakan.
Faiz Fadzil, berkata langkah itu penting untuk membina kerjasama politik lebih luas, khususnya dengan parti yang mempunyai asas sokongan Melayu.
Katanya, kerjasama itu perlu berpaksikan agenda bersama yang jelas, terutama dalam memerangi rasuah, memperkukuh tadbir urus dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.