Pemimpin Amanah mahu segerakan khemah besar PH, libatkan Bersatu

Seorang pemimpin Amanah mengulangi pendirian kerjasama politik diperluas kepada parti di luar Pakatan Harapan (PH) termasuk Bersatu, sambil menggesa penjajaran politik baharu berasaskan konsep khemah besar disegerakan.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata langkah itu penting untuk membina kerjasama politik lebih luas, khususnya dengan parti yang mempunyai asas sokongan Melayu.
Katanya, kerjasama itu perlu berpaksikan agenda bersama yang jelas, terutama dalam memerangi rasuah, memperkukuh tadbir urus dan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Khemah besar itu perlu merangkumi parti-parti lain, termasuk parti teras Melayu seperti Bersatu.
“Penjajaran politik baharu ini perlu disegerakan berasaskan agenda perjuangan sama yang dibawa PH, terutama usaha menentang rasuah.
“Apa jua langkah penjajaran politik ini perlu segera dibincangkan kerana tempoh setahun menuju PRU16 sangat singkat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pandangan penganalisis politik bahawa PH wajar melupakan rancangan menjalin kerjasama lebih erat dengan Bersatu susulan prestasi buruk parti itu pada PRN Melaka, minggu lalu.
Bersatu gagal menyaingi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam merebut sokongan pengundi Melayu pada pilihan raya itu. Begitu juga PH yang hanya menang empat kerusi semuanya oleh DAP.
Bagaimanapun, Faiz berkata prestasi buruk Bersatu berpunca daripada tindakan parti berkenaan bertanding secara bersendirian.
“Kerusi yang dimenangi BN atau PN adalah hasil kerjasama kedua-dua parti. Jika mereka tidak bergabung, PH mungkin boleh menang pada PRN Melaka lalu.
“Sebenarnya, gabungan BN-PN tidak mempunyai hala tuju yang ikhlas dan hanya bertujuan mendapatkan kuasa,” katanya.
Pada 24 Okt lalu, Faiz turut menyuarakan kesediaan bekerjasama dengan parti di luar PH termasuk Bersatu, selagi berkongsi matlamat memerangi rasuah, salah guna kuasa dan ideologi perkauman melampau.
Beliau ketika itu menegaskan pihaknya sentiasa mendukung konsep khemah besar.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.