AG tepat minta perintah pelepasan Najib diteliti, kata peguam

Keputusan Mahkamah Tinggi menggantikan perintah pelepasan Najib Razak bertarikh 6 Nov menunjukkan tindakan Peguam Negara Dusuki Mokhtar meminta perintah itu diteliti adalah tepat, kata seorang peguam.
Hafiz Hassan berkata ini kerana ia mengandungi banyak kesilapan jelas seperti dibangkitkan peguam lain, sambil menjelaskan dalam amalan kes jenayah, perintah mahkamah lazimnya dilaksanakan melalui waran.
Justeru, Hafiz menyifatkan perintah terdahulu itu bermasalah.
Menurutnya, perintah baharu menjelaskan pembayaran denda RM50 juta tidak membebaskan Najib daripada hukuman penjara, sebaliknya membolehkannya menjalani baki hukuman dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah.
“Justeru usaha mempertahankan perintah terdahulu itu tidak berasas,” katanya.
Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Pada September tahun ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberikan pengampunan bersyarat lanjut kepada Najib yang membolehkannya menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat lain yang ditetapkan.
Jumaat lalu, Umno menjelaskan denda itu dan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah pelepasan selepas pembayaran dibuat.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta pelaksanaan perintah itu ditangguhkan berikutan persoalan mengenai kandungan dokumen berkenaan serta kesan perundangannya terhadap baki hukuman penjara Najib.
Semalam, Hakim Aslam Zainuddin mengetepikan perintah pelepasan itu dan menggantikannya dengan perintah baharu selepas mendengar permohonan AGC.
AGC sebelum itu mengenal pasti kesilapan dalam butiran mahkamah, tarikh sabitan, kesalahan, denda, tarikh pemenjaraan dan waran penjara.
Jabatan itu turut memohon penjelasan bahawa pembayaran denda hanya melepaskan Najib daripada denda berkenaan, bukannya hukuman penjaranya.
Hafiz turut menyifatkan tuduhan Dusuki menderhaka kepada Agong serta laporan polis yang dibuat terhadap peguam negara sebagai tidak wajar dan tidak kena pada tempatnya.
Pada 6 Nov, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebarang usaha melengahkan pelaksanaan titah diraja disifatkan tindakan derhaka dan mencabuli hak yang dijamin Perlembagaan.
Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin kemudian menggesa Dusuki bercuti serta-merta sementara menunggu siasatan polis terhadap laporan yang dibuat berhubung beliau, termasuk oleh Pemuda Umno.
Sultan Ibrahim menegaskan pengampunan bersyarat itu jelas dan mesti dilaksanakan, manakala AGC mempertahankan pendiriannya bahawa jabatan itu hanya mahu mendapatkan penjelasan mengenai kesan perundangan perintah pelepasan berkenaan, bukannya mempertikaikan pengampunan diraja.
Pemimpin Umno digesa utamakan undang-undang daripada kesetiaan politik
Penganalisis politik Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, pemimpin Umno yang mempertahankan Najib perlu bersedia mengakui sebarang kecacatan undang-undang dalam sesuatu perintah mahkamah, bukannya menjadikan sentimen politik sebagai ukuran menentukan kesahihannya.
Menurut penganalisis dari Global Asia Consulting itu, Asyraf dan Khairy berhak mempertahankan bekas perdana menteri itu, namun kesetiaan politik tidak sepatutnya mengatasi penghormatan terhadap proses perundangan.
“Terdapat perbezaan besar antara mempersoalkan sesuatu keputusan dengan menuduh seseorang menderhaka kepada Agong. Yang pertama ialah hak demokrasi, manakala yang kedua memerlukan asas jauh lebih kukuh daripada sekadar kemarahan politik.”
Zaharuddin berkata, pemimpin Umno yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap peguam negara sepatutnya berani mengakui dan membetulkan kesilapan mereka, bukannya berdiam diri apabila fakta baharu muncul.
“Jika seseorang pemimpin membuat tuduhan tidak berasas, dia mesti berani mengakui kesilapan dan membetulkannya.
“Mereka tidak sepatutnya cepat membuat tuduhan secara terbuka, tetapi kemudian berdiam diri apabila fakta baharu membuktikan tuduhan mereka salah,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.