Kelebihan politik Umno lemahkan tuntutan berubah, kata penganalisis

Umno seperti tidak berdepan banyak tekanan melakukan perubahan andai keupayaan meraih sokongan pengundi kekal jadi keutamaan kepada bakal rakan gabungan, berbanding rekodnya dalam kerajaan, kata penganalisis.

Penganalisis politik Syaza Shukri, berkata sokongan akar umbi lebih kukuh menjadikan parti itu ada kelebihan berunding bagi mendapatkan kedudukan dalam kerajaan, justeru membolehkan parti berkenaan mengetepikan tuntutan kebertanggungjawaban mengenai kegagalan lalu semasa mentadbir.
“Akhirnya, ia akan menjadi kuasa tawar-menawar di Parlimen,” katanya ditanya sama ada prestasi Umno sebelum ini dalam kerajaan akan mempengaruhi pelantikan Kabinet pada masa depan.
Mengambil kira kitaran politik Malaysia yang singkat disusuli tempoh tiga hingga lima tahun antara pilihan raya, usaha menerapkan tadbir urus baik untuk beberapa dekad mendatang berada pada kedudukan rendah dalam senarai keutamaan, katanya.
Ketika ini, beliau menyifatkan Umno berjaya menangkis cubaan mengaitkan parti itu secara langsung dengan kegagalan institusi. Sebaliknya, parti tersebut meletakkan kegagalan ke atas individu tertentu, manakala penyokong tegarnya pula sekadar memandang ringan peranan parti dalam kemelut berlaku.
Beliau juga memberi amaran supaya tidak menolak kegagalan institusi seperti 1MDB, Lembaga Tabung Haji, dan projek kapal tempur pesisir (LCS) sebagai ‘isu lama’.
Namun, Syaza berkata, tidak patut diandaikan pengundi yang mengambil berat kredibiliti atau rekod prestasi Umno secara automatik mengundi Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pengundi terbabit berkemungkinan turut mempersoalkan kredibiliti dan kebolehpercayaan terhadap PH.
Beliau berkata, serangan berulang kali terhadap Umno oleh seterunya juga boleh dilihat bermotifkan dendam, berpotensi membangkitkan semangat penyokong parti itu untuk keluar beramai-ramai bagi memaparkan sokongan.
“Perkara itu akan merumitkan usaha menjadikan kegagalan tadbir urus sebagai kayu ukur pada pilihan raya,” katanya.
Lebih teruk daripada disangka

Bagi James Chin daripada Universiti Tasmania, wujud prospek yang lebih suram: Umno mampu memperoleh semula kuasa tanpa perlu mengubah budaya dalamannya. Ia kemungkinan nyata jika kerjasama dengan PAS terbukti mengukuhkan sokongan orang Melayu.
Chin berkata, parti itu pernah menganggap pembaharuan sebagai rancangan jangka pendek yang perlu dilakukan susulan kekalahannya pada PRU 2018. Bagaimanapun, alternatif yang lebih menguntungkan adalah berkisar pakatan politik.
“Tidak mungkin Umno berubah,” katanya.
Katanya, prospek mendapatkan kuasa melalui kerjasama dengan PAS melemahkan dorongan melaksanakan pembaharuan dalaman bermakna, manakala persaingan politik memecahbelahkan pula tidak meninggalkan banyak ruang untuk kebertanggungjawaban yang berkesan.
Beliau berkata, tekanan kos sara hidup serta pelbagai tuntutan lain yang saling menjadi tumpuan pengundi akan meletakkan soal kebertanggungjawaban pada kedudukan lebih rendah dalam senarai keutamaan, walaupun mereka kekal bimbang mengenai kegagalan tadbir urus.
Pengaruh politik sahaja tak cukup

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya menawarkan perspektif berbeza menyentuh cabaran dihadapi Umno.
Beliau merujuk kekuatan dalam Parlimen tidak semestinya menjadi ukuran tunggal melihat nilai parti itu kepada sesebuah gabungan, termasuk kegagalan lalu juga tidak wajar secara kekal menentukan keupayaannya mentadbir.
“Pelantikan Kabinet sudah tentu perlu mencerminkan kecekapan, integriti, dan pengalaman pentadbiran, bukannya berdasarkan jumlah kerusi Parlimen semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, Umno mampu menyumbang kepada pengetahuan institusi, kesinambungan pentadbiran serta pemahaman terhadap keperluan pembangunan akar umbi.
“Dalam politik gabungan, kekuatan di Parlimen sememangnya penting, namun keupayaan mentadbir juga sama penting.”
Awang Azman berkata, parti politik wajar diberi peluang berubah dengan syarat mereka menunjukkan kebertanggungjawaban dalaman lebih kental serta kepimpinan bercirikan integriti dan kecekapan profesional.
Bagi Syaza pula, Umno sebenarnya telah diberi peluang menunjukkan perubahan sedemikian menerusi penyertaannya dalam pentadbiran persekutuan di bawah kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, mengakui kelemahan sendiri menjadi titik permulaan baik, bukannya menangkis kritikan dengan menuding jari kepada kegagalan parti lain.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.