Peguam Najib tak terima arahan bayar denda RM50 juta hari ini

Peguam Najib Razak, Shafee Abdullah, berkata beliau belum menerima sebarang arahan untuk membayar denda RM50 juta hari ini bagi membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani tahanan rumah.
“Saya tidak menerima sebarang arahan mengenai perkara ini. Mungkin ada wartawan yang mereka-reka berita,” kata Shafee kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu hari ini, beberapa organisasi media melaporkan bahawa Najib dijangka membayar denda itu bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Satu sumber dipetik sebagai berkata wakil Najib akan membuat pembayaran itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Najib dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Pada Januari 2024, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, mengurangkan separuh hukuman penjara Najib dan menurunkan dendanya kepada RM50 juta menerusi pengampunan diraja.
Pada September tahun ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberikan pengampunan bersyarat selanjutnya kepada Najib, yang membolehkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Aturan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan terhadap syarat-syarat lain yang ditetapkan.
Umno telah melancarkan kempen kutipan dana bagi membantu bekas presidennya itu menjelaskan jumlah berkenaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.