PKR Sarawak digesa beri laluan kepada DAP di Batu Lintang

Penganalisis berpendapat PKR wajar memberi laluan kepada DAP untuk bertanding di kerusi Batu Lintang pada PRN Sarawak akan datang, memandangkan parti itu mempunyai sokongan lebih besar dalam kalangan pengundi majoriti Cina di kawasan berkenaan.

Dick Lembang Dugun daripada Universiti Malaysia Sarawak berkata, PKR hampir tidak mempunyai pengaruh di peringkat negeri, manakala DAP kekal sebagai parti yang lantang bersuara dalam landskap politik negeri itu.
“PKR hari ini tidak berdaya untuk memperjuangkan isu dan hak rakyat Sarawak,” katanya kepada FMT.
“Saya percaya keputusan yang tepat adalah memberi laluan kepada DAP untuk bertanding di Batu Lintang. DAP Sarawak dilihat lebih berfungsi berbanding PKR dalam persekitaran politik Sarawak ketika ini.”
Pada PRN Sarawak 2021, PKR bertanding di 28 kerusi tetapi gagal memenangi satu pun daripadanya. Malah, 22 calonnya kehilangan wang deposit pilihan raya.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, DAP mempunyai kelebihan di Batu Lintang berikutan pengaruhnya yang lebih besar dalam kalangan pengundi Cina, yang membentuk majoriti pengundi di kawasan itu.
“Dari segi sejarah, DAP pernah berjaya di Batu Lintang dan pengundi Cina, yang merangkumi lebih 80% daripada keseluruhan pengundi di situ, menunjukkan kecenderungan lebih tinggi untuk mengundi DAP berbanding PKR,” katanya.
Batu Lintang yang diwujudkan pada 1991 sebelum ini merupakan kubu kuat Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
DAP merampas kerusi itu pada 2006, sekali gus mencatat kemenangan pertama pembangkang di kawasan berkenaan, sebelum memberi laluan kepada See Chee How dari PKR, yang berjaya mempertahankannya dengan selesa pada 2011.
See sekali lagi memenangi kerusi itu untuk PKR pada 2016, tetapi dipecat daripada parti pada 2020 kerana menentang kepimpinan. Pada 2021, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB), meskipun dengan majoriti tipis hanya 93 undi.
See memperoleh 4,420 undi berbanding calon SUPP, Sih Hua Tong, yang mendapat 4,327 undi, manakala calon PKR, Cherishe Ng, hanya meraih 1,823 undi.
Peluang See lebih tipis jika bersama SUPP
Di sebalik spekulasi bahawa See mungkin diketengahkan oleh SUPP pada PRN akan datang, Chin dan Dugun berpandangan peluang bekas Adun tiga penggal itu mungkin lebih tipis jika bertanding sebagai calon GPS.
Chin berkata, pengundi di Batu Lintang sejak sekian lama cenderung menyokong pembangkang, berdasarkan keputusan PRN terdahulu, termasuk pilihan raya 2021 yang menyaksikan PSB, ketika itu sebuah parti pembangkang, muncul sebagai pemenang meskipun undi pembangkang berpecah.
Pada 2021, undi pembangkang kebanyakannya berpecah antara PSB, PKR dan Parti Bumi Kenyalang, yang berjaya memperoleh 1,570 undi, hanya beberapa ratus undi kurang berbanding PKR.
“Ini menunjukkan pengundi di kerusi itu cenderung menyokong pembangkang. Jadi, dengan menyertai kerajaan negeri menerusi SUPP, See sebenarnya telah menjejaskan peluang kemenangannya,” kata Chin.
Dugun berkata, penyokong tegar pembangkang mungkin melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan See menyertai SUPP dan bertanding sebagai calon GPS, malah mungkin mengundinya.
Beliau berkata, DAP perlu mengetengahkan naratif yang tepat sepanjang kempen untuk meraih sokongan pengundi Cina, sambil menambah bahawa parti itu sememangnya berkemampuan menangani isu berkenaan.
“Pengundi Cina cenderung berpendapat bahawa perlu ada pembangkang yang kuat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk berperanan sebagai semak dan imbang. Mereka tahu dominasi satu gabungan atau parti dalam kerajaan adalah tidak sihat.”
Calon berwibawa beri peluang ‘sangat cerah’ kepada DAP
Mengakui kelebihan See sebagai penyandang selama tiga penggal, Chin berkata DAP perlu mengetengahkan calon yang kuat dan dikenali ramai bagi memberikan peluang terbaik kepada Pakatan Harapan (PH) untuk merampas semula kerusi Batu Lintang.
“Jika DAP meletakkan pengerusinya di Sarawak, Chong Chieng Jen, atau Ahli Parlimen Bandar Kuching dua penggal, Dr Kelvin Yii, mahupun pembantu Chong, Michael Kong, yang sudah lama berkecimpung dalam politik, parti itu mempunyai peluang yang sangat cerah,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.