Berbeza pandangan dalam lembaga pengampunan tak bermaksud derhaka, kata Mujahid

Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa mempertahankan Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh kerana berbeza pandangan dengan Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah Najib Razak.
Mujahid berkata, beliau menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, namun anggota lembaga pengampunan bertanggungjawab menyuarakan pandangan jujur mereka mengenai pengampunan seseorang banduan.
“Berkongsi pandangan berbeza dalam mesyuarat lembaga pengampunan tidak bermaksud ingkar atau menderhaka. Pada masa sama, keputusan akhir mesti dihormati dan dilaksanakan mengikut undang-undang.
“Menjunjung kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan memberikan nasihat secara jujur ialah dua tanggungjawab (anggota lembaga pengampunan) yang tidak bercanggah antara satu sama lain.
“Sebarang dakwaan menderhaka mesti dinilai berdasarkan keseluruhan rekod, tindakan sebenar dan kedudukan undang-undang seseorang, bukannya label politik,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, bekas menteri itu menggesa pihak berkuasa berkaitan mengesahkan secara rasmi sama ada minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) sudah dinyahklasifikasikan.
Mujahid berkata, kerajaan juga perlu mengesahkan sama ada salinan minit mesyuarat yang didakwa tulen dan kini tersebar dalam talian itu benar-benar sahih.
“Semua pihak harus mengelak daripada membuat kesimpulan terburu-buru dan berusaha memastikan institusi diraja tidak terheret dalam pertikaian kepartian,” katanya.
Menurut minit mesyuarat LPWP pada 18 Sept yang telah dinyahklasifikasikan, peguam negara, Yeoh dan dua lagi anggota lembaga itu menentang cadangan membenarkan Najib menjalani tahanan rumah sebagai sebahagian daripada pengampunan bersyarat.
Dusuki berkata bekas perdana menteri itu perlu menghabiskan tempoh hukuman penjara yang telah dikurangkan sehingga Ogos 2028, sambil menegaskan tiada peruntukan undang-undang bagi tahanan rumah.
Peguam negara turut berkata pengampunan bersyarat berkenaan akan memberi kesan terhadap kestabilan politik, imej negara di peringkat antarabangsa, pelaburan dan ekonomi.
Minit mesyuarat itu menyatakan Yeoh berkongsi pandangan peguam negara, manakala seorang lagi anggota lembaga Razarudin Husain turut bersetuju dengan Dusuki tetapi berkata beliau akur dengan keputusan akhir Yang di-Pertuan Agong.
Seorang lagi anggota LPWP, Supri Hashim, membangkitkan bahawa Najib masih berdepan beberapa kes lain di mahkamah, yang berkemungkinan membawa kepada hukuman penjara tambahan.
Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong memutuskan untuk memberikan pengampunan bersyarat itu, yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah selepas membayar denda RM50 juta.
Najib mula menjalani tahanan rumah pada 10 Nov selepas Umno membantu membayar denda itu menerusi kutipan dana awam.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.