Sikap pragmatik jangan sampai gadai prinsip, PH diberitahu

Pakatan Harapan (PH) diseru memastikan sebarang kerjasama pilihan raya dengan bekas seteru, Bersatu, tidak membelakangkan prinsip meskipun landskap politik Malaysia semasa memerlukan sikap pragmatik, kata penganalisis politik Awang Azman Pawi.
Ahli akademik Universiti Malaya itu berkata, tindakan mengabaikan prinsip tanpa justifikasi jelas berisiko menjejaskan kepercayaan awam serta keabsalahan jangka panjang gabungan itu.
“Bekerjasama dengan bekas seteru bukannya jadi kesalahan terutama dalam politik gabungan. Namun, PH mesti menjelaskan apa telah berubah sejak krisis politik 2020 dan sebab kerjasama dengan Bersatu akan memberi manfaat kepada pengundi.
“Sikap pragmatik mungkin boleh memenangi pilihan raya, tetapi prinsip-prinsip itulah yang mengekalkan keabsahan jangka panjang,” katanya kepada FMT.

Awang Azman mengulas keputusan bekas pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo, memboikot kempen PH bagi PRN 14 Nov berikutan kemungkinan wujud persefahaman pilihan raya dengan Bersatu.
Yeo merujuk peranan Bersatu dalam menjatuhkan kerajaan persekutuan dan kerajaan Melaka pimpinan PH pada 2020 susulan Langkah Sheraton, sambil menyatakan pengkhianatan politik tersebut terlalu sukar dilupakan atau dimaafkan.
Awang Azman berkata, sikap pragmatik politik telah memberi laluan kepada kepentingan politik sempit apabila pakatan yang dibentuk didorong semata-mata untuk merebut kuasa, bukannya berdasarkan prinsip yang jelas, komitmen dasar, atau kebertanggungjawaban terhadap tindakan masa lalu.
“Langkah Sheraton kekal signifikan kerana ia menyumbang kepada kejatuhan sebuah kerajaan yang telah dipilih. Merundingkan penjajaran semula politik tanpa rundingan mencukupi di peringkat akar umbi berisiko menimbulkan rasa tidak puas hati,” katanya.
Realiti pilihan raya lwn memori politik
Penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata walaupun PH perlu waspada dengan tindakan Bersatu masa lalu, kedudukan politik semasa parti berkenaan juga mesti diambil kira.

“Bersatu kini dalam terdesak sekarang. Parti itu tidak mempunyai pengaruh, kuasa atau strategi menikam PH dari belakang,” katanya.
Azmi berkata, kerjasama dengan Bersatu mampu membantu PH meraih sebahagian sokongan pengundi Melayu walaupun kelebihannya mungkin terhad.
Katanya, tindakan terlalu menumpukan perjalanan politik masa lalu berisiko menjadikan parti politik itu kurang relevan dengan landskap semasa, merujuk kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan mengenai pertimbangan pilihan raya boleh menyatukan bekas seteru.
Azmi berkata, PH perlu mempertimbangkan potensi manfaat kerjasama dengan Bersatu, selain risiko politik yang timbul kesan mengguris hati penyokong yang kekal menentang kerjasama berkenaan.
“Ini adalah hakikat bukan sahaja untuk Melaka, malah untuk negara secara keseluruhannya,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.