Budak 5 tahun maut nahas 6 kenderaan di Jalan Kuching

Polis berjaya mengesan pemandu BYD Seal yang menyebabkan seorang kanak-kanak lima tahun maut dan dua cedera dalam kemalangan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zamzuri Isa, berkata BYD itu melanggar bahagian belakang sebuah motosikal dan Perodua Bezza ketika trafik bergerak perlahan pada 3.44 petang Sabtu lalu.
Jelasnya, Perodua Bezza itu kemudian merempuh tiga kenderaan lain, manakala BYD terbabit melarikan diri dari lokasi kemalangan.
“Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang merupakan anak kepada pemandu Perodua Bezza dan berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pemandu Perodua Bezza, 30, mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC, 33, mengalami kecederaan di bahagian kepala. Kedua-duanya telah menerima rawatan di HKL,” katanya dalam kenyataan sambil menambah pemandu kenderaan lain tidak cedera.
Beliau berkata, pemandu BYD berusia 24 tahun itu kemudiannya dikesan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara.
“(Dia) masih dalam pemantauan pegawai penyiasat dan siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.