InquirerNBI plans to quiz VP, ex-Speaker Velasco about alleged bagmanESPN DeportesLa nueva generación del Team USA despierta la ilusión de PochettinoESPN2026 WNBA playoffs: Takeaways from every Game 1 on SundayThe Jerusalem PostRubio says foreign actor involved in RAF Fairford bomb plot, Trump criticizes release of suspectsDaily MaverickMaxhosa Africa brings pan-Africanism to Paris Fashion Week한겨레[단독] 반구대병원 폐원 직전에도 환자 학대 정황…폭염 속 테라스서 폭행·방치South China Morning PostAMD acquires ‘godmother of AI’ Li Fei-Fei’s start-up as battle with Nvidia intensifiesSözcüFon soruşturmasında yeni perde: Mustafa Sandal ve eşinin planı ortaya çıktı!SportstarInfantino orders FIFA funding review after UEFA, CONCACAF seek 2.1 billion dollar payoutCapital FMJournalist to be crowned king in Uganda after bitter succession disputeWirtualna PolskaPeter Magyar stracił immunitet. Jest decyzja parlamentuسكاي نيوز عربية"سوق أبوظبي" يطلق نسخة جديدة من دليل علاقات المستثمرين
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, September 29, 2026

Sebelum Malaysia mengenali Mahathir dan Hasmah

Translate

Ketika rakyat Malaysia mula mengenali Dr Mahathir Mohamad dan Dr Hasmah Ali, mereka sudah pun dilihat sebagai pasangan yang cukup serasi.

Mereka hadir bersama dalam majlis rasmi, mengembara bersama dan selepas puluhan tahun, hampir mustahil untuk membayangkan kehidupan tanpa satu sama lain.

Namun, ada sisi lain kehidupan mereka, ketika kedua-duanya masih muda dan belum tahu apa yang bakal menanti.

Mereka hanyalah dua pelajar perubatan di Singapura yang sedang belajar mengenali perangai masing-masing, memahami perkara yang boleh menimbulkan rasa tidak senang dan, lebih penting, menyedari bahawa perselisihan tidak semestinya mengakhiri sesebuah hubungan.

Hasmah pernah mengimbau bahawa mereka juga bergaduh ketika bercinta. Selepas itu, mereka akan keluar makan bersama dan berbaik semula.

Cerita kecil itu mungkin menggambarkan perkahwinan mereka dengan lebih baik daripada kisah-kisah besar yang muncul kemudian.

Mahathir sangat menitikberatkan masa. Hasmah pula tidak begitu.

Ketika muda, kebiasaan Hasmah mengambil masa untuk bersiap kadangkala menguji kesabaran Mahathir.

Lama-kelamaan, beliau menerima bahawa isterinya mungkin tidak akan berubah. Kalau Hasmah lewat, maka lewatlah dia.

Bagi Mahathir, itulah antara perkara yang membuatkan sebuah perkahwinan mampu bertahan – menerima bahawa orang yang dikahwini tidak akan bertukar menjadi orang lain hanya kerana kita mahu mereka berubah.

Beliau menyebutnya sebagai toleransi.

Daripada dua pelajar perubatan hingga menjadi pasangan lanjut usia yang masih mampu membuat satu sama lain tersenyum, kehidupan mereka bersama merentasi tujuh dekad dan pelbagai lembaran sejarah Malaysia. (Gambar Facebook)

Ia mungkin kedengaran terlalu praktikal untuk menggambarkan kisah cinta selama 70 tahun. Namun, mungkin itulah cara mereka membuatkan kasih itu terus bertahan.

Ada kasih sayang, tentu sekali, tetapi ada juga jenaka, kesabaran dan kesediaan membiarkan pasangan kekal menjadi dirinya sendiri.

Kisah cinta mereka bermula jauh lebih awal, pada 1947, apabila kedua-duanya memasuki King Edward VII College of Medicine di Singapura.

Ketika itu hanya ada tujuh pelajar Melayu dan Hasmah satu-satunya wanita.

Mahathir pernah mengingati bagaimana pelajar lelaki lain berebut-rebut mahu membantu membawa buku Hasmah ke kuliah.

Beliau juga melakukan perkara sama, tetapi minatnya bukan sekadar mahu membantu. Mahathir mahu menjadi kawannya.

Kemudian Hasmah gagal satu kertas peperiksaan dan memerlukan bantuan dalam pelajaran.

Mahathir, yang merupakan pelajar cemerlang, menawarkan diri untuk mengajarnya.

Hasmah menerima tawaran itu, antaranya kerana kelas berkenaan percuma.

Bertahun-tahun kemudian, Mahathir mengakui peluang menjadi “guru” itu memberinya sedikit kelebihan berbanding lima lelaki lain yang turut cuba mendekati Hasmah.

Cara mereka bercinta mungkin agak luar biasa, tetapi ia berhasil.

Pada 1949, Mahathir memberitahu Hasmah bahawa beliau mencintainya.

“Sesekali, saya bawa Hasmah dating di KL,” tulis Dr Mahathir Mohamad mengenai keluar bersama pada 2019 ini. Selepas lebih enam dekad berkahwin, keluar berdua masih mempunyai makna tersendiri. (Gambar Instagram, @chedetofficial)

Puluhan tahun kemudian, apabila ditanya apakah perkara paling romantik pernah dilakukan suaminya, itulah saat yang masih diingati Hasmah.

Bukan sebarang kejutan besar ketika mereka sudah hidup di mata umum.

Sebaliknya, beliau mengingati seorang lelaki muda yang memberitahunya bahawa dia mencintainya.

Mereka berkahwin pada 1956 dan mula membina kehidupan yang akhirnya tidak dapat dipisahkan daripada perjalanan Malaysia moden.

Mereka dikurniakan tujuh anak, masing-masing membina kerjaya dalam bidang perubatan, manakala perjalanan politik Mahathir membawanya menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.

Hasmah turut mempunyai kerjaya dan kehidupan awamnya sendiri. Namun, sepanjang semua itu, mereka tetap menjalani kehidupan sebagai pasangan dalam erti kata sebenar.

Mereka menemani satu sama lain, belajar menyesuaikan diri dan memahami bila sesuatu perkara perlu diperdebatkan, serta bila lebih baik dibiarkan berlalu.

Apabila usia semakin lanjut, bentuk kebersamaan itu turut berubah.

Wanita yang suatu ketika dahulu menyebabkan Mahathir berebut mahu membawa bukunya semakin banyak memberi perhatian kepada keperluan suaminya.

Dalam wawancara pada 2022, Hasmah bercerita mengenai kebiasaannya menemani Mahathir keluar, rasa bimbang apabila suaminya dikerumuni orang ramai dan permintaannya supaya masyarakat membantu menjaga Mahathir.

Ia cuma cara berbeza untuk menunjukkan kasih yang sama.

Mereka sama-sama mencapai usia seabad, satu penutup yang cukup istimewa kepada perkahwinan yang bermula ketika kedua-duanya masih pelajar perubatan muda, tanpa mengetahui kehidupan yang bakal menanti mereka. (Gambar Facebook)

Ketika itu, ungkapan romantik antara mereka juga semakin sederhana.

Apabila pernah diminta mengucapkan “I love you” kepada satu sama lain, kedua-duanya dengan malu-malu bertukar ungkapan “wo ai ni”.

Mahathir kemudian menjelaskan bahawa mereka memang bukan pasangan yang biasa menyatakan perasaan melalui kata-kata.

Mereka menunjukkannya menerusi cara melayan satu sama lain.

Mungkin sebab itulah selepas tujuh dekad bersama, kisah mereka lebih terasa sebagai cerita tentang kesetiaan dan kebersamaan yang panjang berbanding kisah cinta penuh dengan ungkapan romantik.

Lelaki muda yang dahulu mencari alasan untuk meluangkan masa bersama seorang wanita cantik akhirnya meniti usia tua bersamanya.

Wanita yang pernah menerima tawaran tuisyen percuma daripadanya pula menjadi insan yang sentiasa memerhatikan dan menjaganya.

Hasmah meninggal dunia semalam pada usia 100 tahun.

Malaysia mengenali pasangan itu melalui sejarah yang mereka lalui dan turut bentuk bersama.

Namun, sebelum semua itu, mereka hanyalah dua orang muda yang sedang belajar bagaimana mahu menjalani kehidupan bersama.

Dan mereka berjaya melakukannya – selama 70 tahun.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.